AMIRUL.
AMIRUL.
BERLATIH bermain di studio Gamesbond.
BERLATIH bermain di studio Gamesbond.
AMIRUL (kanan) bersama ahli pasukan Infinite.
AMIRUL (kanan) bersama ahli pasukan Infinite.
TERUJA menjadi juara kejohanan FIFA di Permainan Siber Malaysia.
TERUJA menjadi juara kejohanan FIFA di Permainan Siber Malaysia.
JUARA dalam pertandingan Asashi Gaming Expo 2.
JUARA dalam pertandingan Asashi Gaming Expo 2.

HAZRIL MD NOR kagum dengan semangat seorang anak muda yang sanggup mengorbankan impiannya sejak kecil untuk berjaya dalam bidang baru diceburinya.

Kelincahan menggelecek bola di padang pastinya menjadi impian setiap jejaka lasak. Nur Amirul Afandi, 21, bukan saja berbakat bermain bola, tapi juga bijak mengawal karakter dalam permainan siber FIFA.

“Saya pernah mewakili sekolah untuk sukan bola sepak di peringkat sekolah rendah dan menengah dulu. Tapi disebabkan kecederaan kaki yang serius pada usia 15 tahun, saya bercadang terus berhenti bermain.

“Alhamdulillah saya bersyukur walaupun terpaksa melepaskan impian menjadi pemain profesional, masih diberi ‘peluang’ kedua menonjolkan bakat menerusi permainan maya seperti FIFA yang mengetengahkan konsep seperti bola sepak sebenar.

“Mungkin ramai mempersoalkan pilihan saya tapi jika kita minat pada sesuatu, apa saja kita lakukan pasti berjaya,” katanya.

Terus berusaha

Menurut jejaka yang lebih mesra disapa Amirul ini, tidak pernah terlintas rasa menyesal bahkan dia kini mampu tersenyum memegang status juara berturut-turut permainan siber itu.

“Dulu, agak kecewa kerana tak dapat menjadi seperti idola sukan bola sepak, namun kini saya amat berpuas hati dengan pencapaian sekarang sebagai pemain ‘game’ profesional,” katanya.

Bagaimanapun, kejayaan Amirul di arena sukan elektronik bukanlah diraih dalam sekelip mata kerana untuk berada di tahap sekarang memerlukannya berkorban banyak perkara.

“Pertandingan pertama FIFA hanya melayakkan saya mencecah tangga 32 teratas. Masa itu memang ‘down’ kerana sudah berusaha, namun masih tak dapat jadi juara.

“Tapi saya tak pernah me­ngalah bahkan terus berlatih bermain di rumah sekurang-kurangnya tiga jam sehari. Saya perhatikan gaya permainan pemain bola sepak profesional untuk diaplikasikan dalam ‘game’ kerana teknik bermain itu sangat penting,” katanya.

Tanpa mengenal erti kekalahan, Amirul teruskan bermain FIFA selama empat tahun sehinggalah dia memegang status juara pada usia 19 tahun di kejohanan FIFA 14 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Memang tak terucap dengan kata-kata kerana terlalu teruja dengan pencapaian sebegitu. Lagipun terdapat ramai pesaing rata-ratanya dalam lingkungan usia yang sama, jadi suasana persaingan itu lebih sengit,” katanya yang ingin menumpukan sepenuh masa untuk sukan elektronik.

Kumpulan Infinite

Pada tahun lalu, bakatnya mula diasah apabila dia menyertai kumpulan Infinite yang mendapat tajaan Gamesbond.

Katanya, Gamesbond menganjurkan banyak pertandingan FIFA di studio dan dari situ dia mula berlatih dengan lebih serius.

“Saya bersyukur karier sebagai pemain ‘game’ ini tidak hanya dipandang sebelah mata. Di studio Gamesbond, saya mempunyai ramai kawan berpaksikan minat sama dan tidak lupa kepada pengajar yang sering berikan tip berkesan,” katanya.

Buang rasa selesa

Sungguhpun kerap berada di tangga teratas dan sering menjuarai pertandingan, Amirul tidak pernah rasa selesa malah dia berusaha meningkatkan kemahirannya setiap hari.

“Apabila kita sudah berjaya, rasa selesa mungkin melekat dalam diri, namun bagi sukan elektronik, ia perlu dijauhi. Bila-bila masa saja bakat baru akan muncul dan tidak mustahil kita boleh kecundang jika tiada latihan berterusan.

“Justeru, saya kerap berlatih setiap hari bersama ahli kumpulan agar ‘momentum’ tidak hilang,” katanya yang kini mengumpul lebih RM20,000 bagi kejohanan disertai.

Berkongsi teknik permainan siber, Amirul berkata, untuk menjadi individu profesional bukanlah mudah, tapi tidak mustahil dicapai.

“Bermain ‘game’ memang tampak mudah, tapi sebenarnya ia memerlukan fokus dan kecekapan berfikir. FIFA adalah permainan siber berteraskan taktikal dan strategi dan kita perlu memerhatikan setiap gerakan bola dengan penuh fokus.

“Selain itu, jari perlu pantas menekan butang untuk menghantar bola kepada karakter lain dan kita perlu mencipta formasi berbeza apabila berdepan dengan pihak lawan. Jadi ia bukanlah semudah disangkakan,” katanya yang berhasrat menubuhkan ‘gaming studio’ suatu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 8:31 AM