AMIRUL (kanan) bermain FIFA bersama pengunjung.
AMIRUL (kanan) bermain FIFA bersama pengunjung.
ANTARA ahli pasukan MVP Karnal.
ANTARA ahli pasukan MVP Karnal.
PENGASAS Persatuan Sukan Elektronik Malaysia, Datuk Latt Shariman Abdullah (tengah) dan Rinie (tiga dari kiri).
PENGASAS Persatuan Sukan Elektronik Malaysia, Datuk Latt Shariman Abdullah (tengah) dan Rinie (tiga dari kiri).
Hazril Md Nor


Melontarkan pendapat, idea dan berkongsi minat boleh dilaksanakan dalam pelbagai cara termasuk di media sosial. Namun, semakin kita bergantung dengan teknologi terkini, tanpa kita sedar diri masih memerlukan ruang untuk berinteraksi tanpa bantuan alam maya kerana itu lebih baik kesannya.

Sehubungan itu, Kelab E-sukan UiTM Shah Alam baru-baru ini merealisasikan impian mereka mengumpulkan anak muda yang meminati permainan video dalam satu acara sekali gus menjana idea baru yang lebih bernas dan memberi inspirasi kepada semua.

Malaysia Gamers Gathering (MGG) dengan sokongan Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM), bermula jam 9 pagi hingga 6 petang dan mendapat sambutan hangat daripada komuniti ‘gamers’ apabila lebih 300 anak muda menghadiri acara itu.

Rapatkan komuniti

Presiden Kelab E-Sukan UiTM Shah Alam Ahmad Nazren Ahmad Shahren, 23, berkata penganjuran acara ini patut dinilai dari sudut positif kerana ia menggalakkan ‘gamers’ berinteraksi dan menambah kenalan.

“Kita tak boleh hadkan aktiviti hanya di laman sosial, sebaliknya perlu keluar dari kotak dan cuba cipta kelainan. MGG bukan sekadar acara anak muda berjumpa dan berkongsi minat tapi lebih daripada itu.

“Kami menjemput dua pemain ‘game’ profesional negara, Aiman Azham dan Amirul Afandi yang banyak menjuarai kejohanan sukan elektronik dalam negara bagi kategori Counter Strike Global Offensive (CS:GO) dan FIFA.

“Melalui program bual bicara, mereka berkongsi idea, tip dan pengalaman sepanjang pembabitan dalam lapangan itu.

“Positifnya, lebih ramai orang muda dapat memahami bagaimana landasan e-sukan berfungsi secara nyata, dilakar daripada pengalaman pemain ‘game’ itu sendiri,” katanya.

Promosikan diri

Penulis menemu bual Nur Amirul Afandi, 22, yang sudah lama berkecimpung dalam lapangan sukan elektronik selain menjuarai banyak pertandingan ternama untuk permainan video FIFA.

Katanya, anak muda yang ingin bergiat dalam e-sukan perlu faham bagaimana platform ini berfungsi selain mewujudkan hubungan baik dengan penaja.

“Hadiah wang tunai tidak patut dijadikan taruhan kerana ini boleh menghalang individu daripada melihat peluang jana pendapatan lain menerusi pengiklanan.

“Prestasi yang konsisten dan keupayaan untuk berdisiplin dalam arena boleh membuka ruang yang luas dari aspek penajaan. Kita perlu mewakilkan diri kita seperti seorang profesional, sama seperti bidang lain,” katanya.

Amirul berkata, penting untuk pemain tempatan mewujudkan hubungan baik dengan penaja kerana mereka masih tidak mendapat gambaran tepat mengenai pasaran e-sukan di negara ini.

Sasar penuntut universiti

Penuntut universiti antara sasaran sesuai untuk pendedahan terhadap e-sukan seperti dijelaskan Setiausaha Agung Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) Rinie Ramli.

“Hasil tinjauan kami, 88 peratus daripada 200,000 siswa UiTM Shah Alam pernah bermain ‘game’ dan 57 peratus daripada jumlah ini individu yang meluangkan masa lebih dua jam bermain permainan video. Justeru, inilah saat sesuai untuk menyasarkan segmen e-sukan dalam sektor pendidikan.

“Malah, pengiktirafan kelab e-sukan di universiti boleh dilihat sebagai usaha positif untuk meyakinkan universiti dan orang luar bahawa aktiviti bermain ‘game’ bukan perkara sia-sia dan patut diberi tumpuan.

“ESM membantu dan menyediakan ruang bagi pelajar untuk menganjurkan acara sebegini kerana langkah kami seterusnya ialah merealisasikan konsep MGG untuk kolej atau universiti di setiap negeri.

“Jika ramai menganggap MGG sekadar perjumpaan biasa, ia lebih daripada itu. Di sinilah tempatnya untuk anak muda mendapatkan maklumat berkaitan e-sukan dari pelbagai aspek dan menilai sendiri pengalaman daripada pemain profesional,” katanya.

Menurut Rinie, ESM dalam perancangan menjayakan sekali lagi acara seumpama ini di Terengganu pada Mei atau Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 5:27 AM