ANTARA peserta bertanding.
ANTARA peserta bertanding.
TI_Samorai turut bertanding.
TI_Samorai turut bertanding.
KICKERS Shige.
KICKERS Shige.
BARISAN pemenang.
BARISAN pemenang.
Hazril Md Nor


Seminggu sebelum penganjurannya, Asashi MSI FIFA 16 Gaming Expo 3 mencipta aura tersendiri apabila hangat diperkatakan di laman sosial.

Pertandingan yang mengetengahkan permainan video bola sepak digital kegilaan ramai itu dibanjiri lebih 128 pemain merebut hadiah terkumpul RM11,600.

Bertempat di pusat beli-belah Wangsa Walk, kejohanan dianjurkan Spotgamers diadakan empat hari bermula 27 Ogos dan 28 Ogos dan diteruskan saingannya pada 3 September dan 4 September lalu.

Pengurus Pemasaran Kumpulan Asashi, Angel Hau menyedari pertandingan sebegini bukan sekadar menghimpun anak muda dalam satu pertandingan sihat tapi juga menggalakkan pertumbuhan e-sukan di negara kita.

“Kita boleh lihat budaya remaja sekarang yang tertumpu kepada sukan elektronik (e-sukan). Jadi inilah masa sesuai untuk teruskan perancangan tahunan kami dan sebelum ini pun sudah dua kejohanan diadakan mengikut konsep ini.

“Permainan video FIFA 16 dipilih kerana ia lebih berkait rapat dengan anak muda tempatan yang gemarkan sukan bola sepak ditambah lagi komuniti sedia ada yang sememangnya dahagakan persaingan sesama mereka,” katanya.

Menariknya mengenai kejohanan ini, kata Angel, pemenang bukan saja memperoleh wang tunai lumayan tapi juga dihadiahkan alat perkakas elektronik.

“Kami turut berkolaborasi dengan pelbagai syarikat pembekal alat perkakas elektronik seperti MSI. Saya yakin pendekatan sebegini sesuai untuk golongan muda yang celik IT,” katanya.

Teruja bergelar juara

Bercerita mengenai pertandingan, pasukan pilihan iaitu Kickers ternyata mendominasi dengan prestasi konsisten dari Kickers. Shige atau nama sebenarnya Lim Boon Shin, 26, merangkul gelaran juara.

“Kecundang dalam AGES 2016 beberapa bulan lalu mengajar saya semangat juang pemain ‘game’ profesional iaitu tidak mengenal erti kekalahan.

“Sudah lama berlatih dan terpaksa korban waktu remaja, rasanya kali ini memang berbaloi. Matlamat saya hanya satu, iaitu mengejar kemenangan sebanyak mungkin sebelum berakhirnya FIFA 16 tidak lama lagi,” katanya yang memenangi hadiah utama bernilai RM5,000 merangkumi alat perkakas elektronik MSI dan wang tunai RM2,000.

Boon berkata, ramai bertanya ke mana hala tujunya apabila terlalu serius dalam permainan video ini. Tidak kurang juga yang mengaitkan wang sebagai sebab utama dia menceburkan diri dalam industri itu.

“Ada yang bertanya saya mengapa bermain lagi dan lagi. Hakikatnya, mungkin ramai yang tidak tahu industri ini sebenarnya makin berkembang dan menyediakan peluang kepada ramai anak muda untuk berjaya.

“Memang benar wang itu mendorong untuk terus bermain tapi ia lebih kepada minat sebenarnya kerana saya sendiri seorang yang suka bertemu dengan pesaing baru.

“Tanpa dorongan ahli pasukan dan teman wanita yang tidak putus memberi sokongan selama ini tak mungkin saya mampu berjaya sampai ke tahap sekarang,” katanya.

Ketika ditanya bagaimana dia membahagikan masa antara permainan video dan kerja, kata Boon, ia tidak menjadi satu masalah buat dirinya.

“Selalunya mereka yang terjebak dengan permainan video terpaksa berkorban banyak perkara termasuk waktu lapang bersama insan tersayang.

“Namun, permainan video FIFA sedikit berbeza kerana kita tidak perlu meluangkan masa yang banyak untuk berlatih. Sebaliknya hanya beberapa jam saja diperlukan.

“Kebiasaannya saya akan bermain permainan video FIFA selepas pulang dari kerja,” katanya yang sudah bersiap sedia menghadapi cabaran Pertandingan Siber Selangor, esok.

Sementara itu, Mohd Syahril Mispardi, 30, (Myfes Warrior) mendapat tempat kedua dan membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta alat perkakas elektronik Razer. Pasukan pilihan seperti TI, Infinite, M.O.B dan Immortal turut bertanding dalam kejohanan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 8:53 AM