KANAK-KANAK teruja melihat pameran yang disediakan.
KANAK-KANAK teruja melihat pameran yang disediakan.
ANTARA pameran yang menjadi tumpuan pengunjung.
ANTARA pameran yang menjadi tumpuan pengunjung.
AKTIVITI di Dino Dig menceriakan pengunjung.
AKTIVITI di Dino Dig menceriakan pengunjung.
MUKHRIZ mencuba permainan interaktif yang disediakan.
MUKHRIZ mencuba permainan interaktif yang disediakan.
Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin

Menjelang musim cuti persekolahan ini, ibu bapa pastinya sudah membuat pelbagai perancangan untuk anak mereka.

Bagi yang merancang membawa anak berkunjung ke Alor Setar ketika cuti sekolah nanti, pastikan anda singgah di Balai Seni Negeri Kedah yang terletak di tengah-tengah bandar raya.

Anak anda pasti teruja kerana kini berlangsungnya pameran Dinotrek2 anjuran bersama Muzium Negeri Kedah dan Petrosains Malaysia.

Pemeran yang berlangsung dari Oktober 2014 sehingga Mei 2015 amat menarik dengan sembilan dinosaur animatronik, 12 pameran interaktif serta pelbagai aktiviti sampingan lain. Pastinya ia bakal memberikan pengalaman berguna terutama kepada kanak-kanak.

Di samping dapat mengenali jenis dinosaur yang pupus jutaan tahun lalu, ia juga dapat membantu mengembangkan corak pemikiran kanak-kanak melalui aktiviti disediakan.

Antara permainan interaktif yang menarik perhatian kanak-kanak ialah Dino Chase dan Dino Puzzle. Semestinya yang paling menjadi tumpuan adalah permainan Dino Dig yang membolehkan mereka mencari tulang dinosaur dalam pasir tiruan.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Petrosains, Norliza Kamaruddin, Petrosains amat komited untuk menggalakkan rakyat terutama golongan muda menjadi celik sains serta mencetuskan minat rakyat dalam mempelajari bidang itu.

"Kami mahu seramai mungkin pengunjung datang melihat pameran seperti ini. Kami mahu memupuk pembelajaran interaktif untuk memupuk semangat kanak-kanak mempelajari sains," katanya pada majlis perasmian pameran itu, baru-baru ini.

Majlis perasmian Pameran Dinotrek2 yang berlangsung kali kedua di Kedah itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pameran dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dengan harga tiket sangat berpatutan. Malah, bagi kanak-kanak bawah empat tahun tidak dikenakan sebarang bayaran.

Di samping melihat pameran, pengunjung berpeluang melawat tempat menarik berhampiran seperti Masjid Zahir, Balai Nobat, Menara Alor Setar dan Muzium Diraja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:02 AM