CHRISTINE melihat kanak-kanak yang mencuba permainan terbaru Hot Wheels.
CHRISTINE melihat kanak-kanak yang mencuba permainan terbaru Hot Wheels.
Faizatul Farlin Farush Khan


Kreativiti antara kemahiran penting dalam proses pembelajaran yang dapat membantu perkembangan otak kanak-kanak supaya mereka dapat menjadi lebih bijak dalam mencari penyelesaian sebarang masalah.

Mendidik anak menjadi kreatif memerlukan peralatan atau permainan sesuai, terutama membabitkan usaha mereka sendiri untuk memasang dan menghasilkan sesuatu bentuk berdasarkan imaginasi.

Pengurus Kanan Jenama Boys, Mattel Asia Tenggara Christine Chan berkata, menyedari perkara itu, Mattel memperkenalkan rangkaian permainan terbarunya, Hot Wheels Track Builder System, terdiri daripada trek yang boleh disambung dan dibentuk mengikut kreativiti kanak-kanak itu.

Aksesori dan trek yang diperkenalkan boleh menggalakkan kanak-kanak untuk melakukan eksperimen sendiri dan mencari penyelesaian terbaik untuk memastikan kereta Hot Wheels mereka dapat meluncur laju.

“Rangkaian permainan terbaru ini menawarkan aksesori yang dapat membantu membina trek yang boleh disambung dengan pelbagai bentuk dan aksi, seterusnya memberikan kanak-kanak fleksibiliti untuk mencipta dunia mereka sendiri.

“Bukan setakat aksesori permainan, kotaknya juga boleh digunakan untuk diubah menjadi garaj dan juga laluan kepada trek dan kereta.

“Ia boleh memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk ‘membina’ dunia dan menguji kreativiti, selain menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga,” katanya pada pameran bergerak, Make it Epic, bagi memperkenalkan set permainan terbaru itu di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menurut Christine, ketika zaman semakin ramai kanak-kanak lebih banyak bermain gajet dan permainan digital, Hot Wheels menguji kemahiran kreativiti, motor dan grid, setiap kali jalinan trek hendak dibina.

Malah katanya, kanak-kanak perlu kreatif dan melakukan eskperimen untuk tahu kaedah memastikan kereta tidak tersekat, tergelincir dari laluan trek ataupun bergerak perlahan.

“Hot Wheels sentiasa tampil dengan permainan baru untuk menghiburkan kanak-kanak selain memperkenalkan kira-kira 400 model kereta Hot Wheels setiap tahun,” katanya.

Turut hadir, Pengurus Kanan Pemasaran Sunway Pyramid, Loo Hoey Theen dan Pengurus Pemasaran Toys ‘R’ Us Malaysia, Feina Leow.

Hot Wheels Track Builder System menampilkan beberapa set permainan dan aksesori antaranya Hot Wheels Stunt Kit Play Set yang menawarkan empat gaya permainan dan Hot Wheels Track Builder Starter Kit Playset.

Selain itu, Hot Wheels Track Builder Essential Asst ialah aksesori yang penting dalam memastikan sistem trek dapat dikembangkan.

Terdapat lima set aksi berbeza yang boleh dipilih iaitu Spin Launch, Loop Launcher, Lift & Launch, Turn Kicker dan 2-Lane Launcher.

Pemeran Hot Wheels Make it Epic diadakan di seluruh Lembah Klang bermula 2 Mac hingga 10 April ini. Peminat Hot Wheels boleh menyertai pameran akan datang yang diadakan pada 6 April hingga 10 April ini di Aeon Mid Valley, Aeon Sunway dan Aeon Seremban.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 6:16 AM