SUASANA dewan pameran yang seakan-akan sama dengan dalam kehidupan sebenar dinosaur.
SUASANA dewan pameran yang seakan-akan sama dengan dalam kehidupan sebenar dinosaur.
Suliati Asri


Ngaumannya saja sudah menggerunkan. Inikan pula berdiri di sebelah haiwan terbesar di dunia ini. Ia sememangnya membuatkan perasaan bercampur-baur yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.

Dengan perasaan yang tidak menentu itu, terbayang pula aksi haiwan ini mengganas di dalam filem Jurassic Park dan Jurassic World.

Kesan efek imej janaan komputer (CGI) yang digunakan dalam filem itu menunjukkan haiwan ini, dinosaur bagai hidup di alam nyata sekali gus memperlihatkan kekuatan dan keganasannya.

Namun, semua itu hanyalah dalam filem. Ganas bagaimanapun haiwan ini tetap punya daya tarikan lebih-lebih lagi ia sudah pupus.

Perkongsian mengenai kehidupan, aspek menarik dan keunikan dinosaur ini nyata disukai di seantero dunia. Oleh itu, apa juga pameran yang membabitkan haiwan yang hidup pada zaman purba jutaan tahun dahulu akan mendapat perhatian ramai.

Mendengar ngaumannya, kepala dan ekornya yang bergerak adalah ‘perkara biasa’ saat melihat pameran membabitkan dinosaur ini.

Namun, tatkala memegang teksturnya yang lembut dan perutnya yang kembang-kempis kerana bernafas, ia bagai dinosaur sebenar.

Suasana di dalam bilik ruang pameran yang gelap bagai malam dengan keseluruhan dinding dihiasi seperti berada di dalam hutan belantara, penerokaan di Dinosaur Alive in Kuala Lumpur ini dirasakan begitu realistik. Dinosaur ini bagaikan benar-benar hidup.

Dinosaur Alive In Kuala Lumpur adalah pameran ‘pop-up’ yang bertema Jurassic, di Lanai, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) yang kini berlangsung sehingga Januari 2018.

Berpangkalan di Australia, Malaysia adalah negara pertama di Asia yang mempamerkan haiwan purba dalam siri jelajah dinosaur ‘hidup’ ini.

Pameran ini memberikan pendidikan besar dalam hidup kanak-kanak dan pengalaman menarik seisi keluarga yang ingin mengunjungi taman rekreasi yang unik dan bertema dinosaur.

Ia juga menampilkan pertunjukan memberi banyak pengetahuan mengenai haiwan prasejarah itu yang menghuni bumi 165 juta tahun lalu.

KANAK-KANAK berpeluang menjadi ahli paleontologi menerusi aktiviti yang disediakan.
KANAK-KANAK berpeluang menjadi ahli paleontologi menerusi aktiviti yang disediakan.

Pengarah Perhubungan Awam Dinosaurs Alive In Kuala Lumpur Rasila Hamzah berkata, pameran ini memberi peluang kepada pengunjung terutama kanak-kanak mengenali dengan lebih dekat haiwan yang sudah pupus ini.

“Pameran yang membabitkan dinosaur sememangnya sudah banyak kali diadakan di negara ini. Namun, Dinosaur Alive In Kuala Lumpur ini sangat berbeza kerana dinosaur yang dipamerkan di sini bagai benar-benar hidup.

“Selain mempamerkan 40 dinosaur animatronik, dinosaur yang dipamerkan juga bersaiz sebenar sekali gus membolehkan pengunjung membayangkan kehidupan sebenar haiwan ini pada masa dahulu,” katanya.

Meneroka di dalam ‘hutan’ buatan yang dipenuhi 40 spesies dinosaur bersaiz sebenar membuatkan pengunjung menjadi sangat kerdil di samping haiwan terbesar dunia ini.

RANGKA dinosaur yang turut dipamerkan.
RANGKA dinosaur yang turut dipamerkan.

Ngauman yang pelbagai irama mengikut spesies dinosaur ditambah dengan bunyi latar yang dimainkan bagai membawa pengunjung menjelajah di dunia sebenar dinosaur.

Tekstur kulit dinosaur yang lembut saat disentuh membolehkan pengunjung membayangkan keadaan sebenar haiwan itu.

Ketiadaan pagar atau penghalang tinggi pada pameran itu membolehkan pengunjung terutama kanak-kanak menyentuh, membelai dan melihat haiwan ini secara lebih dekat.

Saat itu, pelbagai mimik muka dan aksi yang diperlihatkan si kecil. Ada yang berasa geli dan takut, malah tidak kurang yang teruja dan seronok.

Kelibat si Tyrannosaurus Rex atau T-rex dengan ketinggian sembilan meter, 25 meter lebar dan beratnya 5,000 kilogram yang dibuat khusus untuk pameran ini antara tarikan utama memukau pandangan.

Siapa saja yang melihatnya pastinya akan terpegun. Ngaumannya yang kuat juga menjadi tarikan dinosaur yang cukup ‘ganas’ ini.

Swafoto berlatarbelakangkan T-rex ini juga pastinya peluang sekali seumur hidup yang cukup bermakna dan meninggalkan kenangan terindah.

DINOSAUR Baryonyx dengan gigi berdarah menanti di pintu masuk.
DINOSAUR Baryonyx dengan gigi berdarah menanti di pintu masuk.

Itu belum diikuti dengan spesies dinosaur lain iaitu Baryonyx dengan gigi berdarah menanti di pintu masuk, Apatosaurus yang berleher panjang, Dimetrodon, Iguanodon, Irritator, Postocuchus, Raptor, Saltasaurus, Styracosaurus dan banyak lagi yang punya keistimewaan serta keunikan tersendiri.

Telur dinosaur yang besar dan anak dinosaur yang baru menetas juga turut dipamerkan di sini. Ia secara tidak langsung mempamerkan haiwan purba yang sudah pupus ini dalam pelbagai aspek yang sememangnya menarik perhatian pengunjung.

Di sini, selain melihat dan boleh menyentuh spesies dinosaur yang hidup ini, pengunjung terutama si kecil ditawarkan dengan pelbagai aktiviti menarik yang dipecahkan mengikut zon.

Zon penggalian telur dan fosil dinosaur antara aktiviti yang disukai ramai. Ini kerana, selain mereka berpeluang menjadi ahli paleontologi, mereka juga boleh membawa pulang fosil atau rangka dinosaur yang dijumpai.

AKSI bersahaja pengunjung cilik memegang dinosaur yang dipamerkan.
AKSI bersahaja pengunjung cilik memegang dinosaur yang dipamerkan.

Selain itu aktiviti di zon kraf pasir dinosaur dan memasang rangka serta zon sejarah dinosaur membolehkan ibu bapa meluangkan masa berkualiti bersama anak dengan membantu mereka menyiapkan aktiviti yang dilakukan.

Aktiviti ‘jumping castle’ bertema nyata memberikan keseronokan buat si kecil. Zon makanan dan minuman bertema dan mainan serta barang bertema dinosaur yang dijual juga pastinya tidak mengecewakan.

Dibawakan khas kepada ke negara ini menerusi ini inisiatif MaTiC dengan kerjasama Creative Alliance dan Dinosaurs Touring, sebuah syarikat yang berpusat di Melbourne, Disosaur Alive In Kuala Lumpur ini dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Tiket dijual pada harga RM50 untuk dewasa dan RM30 untuk kanak-kanak antara tiga hingga 12 tahun. Potongan harga juga diberikan kepada pengunjung yang datang secara kumpulan seramai 10 orang atau lebih di samping kumpulan pelajar sekolah 20 orang atau lebih. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.dinosaursalive.asia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 12:32 PM