Oleh Mohamad Fahd Rahmat dan Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Jasad empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Chiang Mai, Thailand selamat tiba di Rumah Urus Mayat Hoon Chew Tong, Jalan Sultanah, di sini, 9.12 pagi tadi.

Mangsa terbabit adalah, Low Chee Lan, 85; anaknya yang juga suami isteri Tan Sui Heng, 54, dan Ker Bong Ngwang, 57, serta cucunya, Tan Thin Thin, 38.

Ahli keluarga, sahabat handai dilihat mula mengerumuni sekitar perkarangan Rumah Urus Mayat seawal jam 7 pagi bagi menunggu ketibaan mangsa selain bagi memberi penghormatan terakhir.

Suasana hiba dan pilu kemudian mula menyelubungi suasana perkarangan, malah ada di antara ahli keluarga yang meraung meratapi keempat-empat jasad berkenaan.

Empat sekeluarga itu dibawa menaiki van milik syarikat pengurusan mayat selepas berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Subang kira-kira 4.30 pagi tadi.

Sementara itu, suasana suram menyelubungi Rumah Urus Mayat Persatuan Koon Yew di Jalan Fatimah di sini sebaik van membawa lima jasad tiba pada 9.08 pagi tadi.

Mangsa terbabit Wong Yoke Ying, 58; Png Ee Ting, 23; Ker Ah Wee, 55; Ong Pek Ming, 61; dan Chua Ah Kim, 55, kemudian ditempatkan di ruangan khas di rumah urus mayat itu bagi membolehkan upacara mengikut ritual berkabung masyarakat Cina dilangsungkan.

Kaum keluarga selain sahabat handai kepada semua mendiang turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir dan difahamkan jasad berkenaan akan diletakkan di sini untuk beberapa hari sebelum dibakar selain abunya akan dituntut waris masing-masing kemudian.

Empat lagi jasad mangsa kemalangan di Chiang Mai selamat tiba di tiga rumah urus mayat berasingan di sini, 9.20 pagi tadi.

Jasad Ong Chai Hong, 58, dan Ong Chui Hoe, 53, dibawa ke Rumah Urus Mayat berhampiran kediaman mereka di Kampung Parit Haji Sidek manakala Lum See Seng, 63, di Tanjung Labuh.

Teng Kian Min, 57, pula ditempatkan di Rumah Urus Mayat di Jalan Mohd Akil, di sini.

Difahamkan jasad berkenaan akan disimpan untuk beberapa hari sebelum dibakar selain abunya akan dituntut waris masing masing kemudian.

Terdahulu, semua 13 jasad korban nahas berkenaan diterbangkan ke negara ini dari Thailand dengan menaiki dua pesawat C130 Tentera Udara Diraja Thailand dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Penerbangan ihsan itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Subang kira kira 3.32 pagi ini dan konvoi membawa jasad itu kemudian bergerak ke selatan sebelum berpisah ke tiga rumah urus mayat berasingan sebaik tiba di Batu Pahat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 11:26 AM
JASAD mangsa tiba di Rumah Urus Mayat Hoon Chew Tong. FOTO Mohd Hanafis Abdul Haris
JASAD mangsa tiba di Rumah Urus Mayat Hoon Chew Tong. FOTO Mohd Hanafis Abdul Haris