JENAZAH Koperal Mohd Faizol Rosli bawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Kuang, Baling. FOTO Aizat Sharif
JENAZAH Koperal Mohd Faizol Rosli bawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Kuang, Baling. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif dan Safuri Kamarudin


Baling: Jenazah Koperal Mohd Faizol Rosli, 29, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Kuang, Baling, pada 1.20 pagi, 7 Oktober.

Allahyarham ditemui lemas, pada 10.45 pagi, 6 Oktober, selepas terjatuh ke laut ketika bertugas di Pulau Perak, Kedah, Isnin lalu.

Jenazah sebelum itu tiba di perkarangan rumah ibu bapanya di Kampung Keda Kemangi, Kupang di sini, pada 12.45 pagi, dengan van jenazah dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Suasana hiba dan sayu menyelubungi perkarangan rumah ibu bapanya apabila ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga berkumpul menyambut jenazahnya.

Isterinya, Siti Aminah Abdul Hamid, 31, ketika ditemui berkata dia reda dengan segala apa yang sudah berlaku.

"Allah lebih menyayanginya namun saya tetap reda kerana pemergiannya di saat dia menjalankan tugas demi negara," katanya.

Siti Aminah yang bertugas sebagai guru di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kubang Semang, Bukit Mertajam, berkata dia kini akan terus memikul tanggungjawab menjaga kedua-dua anak perempuan mereka berusia tiga dan setahun.

Allahyarham dan rakannya, Koperal Johbartlee Kanil, 32, yang berasal dari Sabah berkhidmat dalam Batalion ke-4 Rejimen Renjer Diraja (RRD) berpangkalan di Oran, Perlis.

Kedua-duanya dilaporkan hilang kerana terjatuh ke laut di Pulau Perak, Kedah.

Kedua-duanya ditugaskan sejak sebulan lalu di pulau berkenaan yang terletak kira-kira 66 batu nautika dari barat daya Pulau Langkawi.

Mayat arwah ditemui oleh Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) ketika melakukan pencarian kira-kira 30 meter dari Pulau Perak.

Jenazahnya kemudian dibawa naik ke kapal KD Mahawangsa sebelum dipindahkan ke Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang, mengunakan helikopter.

Jenazah kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk tujuan pengecaman oleh ahli keluarga.

Operasi menyelamat dan mencari masih diteruskan bagi mengesan Koperal Johbartlee Kanil yang masih hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 1:57 AM