Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Nilai: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam longkang besar berhampiran rumah flat di Desa Cempaka di sini, kira-kira jam 12 tengah hari ini.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Zainal Ahmad berkata, kanak-kanak lelaki dikenali sebagai G Sugumaran itu dikatakan bermain berhampiran longkang berkenaan sebelum disedari terjatuh oleh orang awam dan menghubungi bomba.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan 12.46 tengah hari dan dua jentera dengan kekuatan 12 anggota ke lokasi kejadian bagi usaha mencari dan menyelamat mangsa.

Beliau berkata, sehingga kini kanak-kanak terbabit masih belum ditemui kerana dipercayai dihanyutkan arus deras berikutan hujan lebat yang berlaku malam tadi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan kerjasama polis dan penduduk setempat menyusuri longkang besar yang memasuki Sungai Labu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2015 @ 2:08 PM