LOKASI mayat mangsa ditemui.
LOKASI mayat mangsa ditemui.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Nilai: “Saya mendengar kakaknya menjerit meminta tolong sambil menunjukkan adik lelakinya di dalam longkang,” kata penduduk flat yang mahu dikenali sebagai Aminah, 45, ketika menceritakan seorang kanak-kanak lelaki ditemui lemas selepas terjatuh dalam longkang hadapan flat Desa Cempaka, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, kanak-kanak terbabit G Sugumaran, 3, lemas dihanyutkan arus akibat hujan lebat sebelum mayatnya ditemui tersangkut pada jaring sampah di Sungai Salak Lama, dua kilometer dari lokasi terjatuh.

Menurut Aminah, sebelum kejadian, penduduk melihat dua beradik memasuki sebuah kedai runcit bawah rumah flat untuk membeli barang serta bermain di hadapan premis itu.

“Beberapa minit kemudian, mereka berjalan ke longkang besar sebelum seorang daripadanya terjatuh. Kakaknya berusia 11 tahun menjerit dan cuba menyelamatkan adik lelakinya tetapi hilang dihanyutkan arus,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Katanya, kebiasaannya longkang berkenaan tidak dipenuhi air namun disebabkan hujan lebat malam kelmarin mengakibatkan air melimpah dan arus deras mengalir ke sungai berhampiran.

Aminah berkata, beberapa penduduk kebetulan melihat kejadian itu segera menghubungi bomba.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Ahmad Ridwan Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.46 tengah hari sebelum menggerakkan 12 anggota ke lokasi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Menurutnya, operasi mengambil masa hampir dua jam sebelum menemui mayat kanak-kanak terbabit ditemui tersangkut pada jaring sampah di sungai berkenaan, jam 2.20 petang.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 6:55 AM