HODGSON (dua dari kiri) bersama rakan setugas pasukan dalam Kumpulan B.
HODGSON (dua dari kiri) bersama rakan setugas pasukan dalam Kumpulan B.
ENGLAND mahu baiki rekod buruk Piala Dunia 2014.
ENGLAND mahu baiki rekod buruk Piala Dunia 2014.
AFP

Paris: Pengurus England Roy Hodgson menyambut baik keputusan undian Euro 2016 di Paris kelmarin yang menyaksikan tiga pasukan agak asing buat pengurus Three Lions itu dikumpulkan dalam kumpulan sama.

England yang sudah dua kali layak ke separuh akhir Kejohanan Eropah iaitu pada 1968 dan 1996, diundi dalam Kumpulan B bersama Russia, Slovakia dan Wales.

“Walaupun sudah mengendalikan lebih 100 perlawanan di peringkat antarabangsa bersama tiga pasukan iaitu Finland, Switzerland dan England, saya tidak pernah bertemu Russia, Slovakia atau Wales,” kata Hodgson.

“Saya tidak sabar untuk beroleh pengalaman baru. Saya gembira kerana tidak bertemu lawan sama seperti yang pernah berlaku pada kempen kelayakan.

“Kami harap dapat melakukan lebih baik, terutama berbanding apa yang kami lakukan pada 2014 (Piala Dunia),” katanya sambil merujuk kepada penyingkiran England di peringkat kumpulan apabila menamatkan saingan dengan hanya satu mata sepanjang tiga perlawanan.

Tidak dapat dinafikan, perlawanan paling ditunggu-tunggu England ialah bertemu Wales pada 16 Jun di Lens.

“Kami faham dan sedar dengan sentimen pertemuan ini tapi kami juga tidak sabar bertemu Russia dan Slovakia,” kata Hodgson.

Sementara itu, jurulatih Wales Chris Coleman pernah mengaku beliau enggan diletakkan dalam kumpulan sama dengan England dan menganggap sentimen ‘Peperangan Britain’ mungkin memainkan faktor besar tetapi tetap yakin anak buahnya mampu bermain seperti yang diharapkan.

“Ia lebih daripada sekadar sentimen yang akan mempengaruhi perlawanan. Ada tiga perlawanan yang perlu diharungi dan kami tidak boleh terlalu memikirkan soal pertemuan dengan England,” kata Coleman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2015 @ 5:03 AM