BALE
BALE
AFP

London: Pengurus Wales Chris Coleman melarang isteri dan teman wanita (WAGS) pemainnya daripada berada di hotel pasukan sepanjang EURO 2016.

Coleman menyedari kehadiran WAGS sentiasa menjadi isu dalam kejohanan utama sejak kempen England sewaktu Piala Dunia Jerman 2006 yang dibayangi kehadiran Victoria Beckham, Coleen Rooney dan lainnya.

Wales berharap dapat mencetus impak pada kejohanan utama pertamanya sejak 58 tahun dengan Coleman mendedahkan sekurang-kurangnya pada peringkat kumpulan kejohanan di Perancis, beliau mahu pemainnya fokus terhadap bola sepak tanpa gangguan keluarga.

Ini bermakna isterinya, pengacara televisyen Charlotte Coleman dan teman wanita bintang Real Madrid Gareth Bale Emma Rhys-Jones perlu tinggal di rumah.

“Kami mempunyai tiga perlawanan dan tidak akan ada keluarga, teman wanita mahupun isteri di hotel pada peringkat awal kumpulan,” kata Coleman mengenai perancangan pasukannya untuk berpangkalan di pusat peranginan pantai Dinard, Brittany.

“Kami mempunyai tiga perlawanan dalam 10 hari dan tiada masa, kami bersiap sedia, berjalan, bermain dan berjalan.

“Kami katakan, ayuh lepasi peringkat kumpulan kerana ada tempoh enam hari dan akan ada harinya kami akan benarkan mereka untuk bersama keluarga dan kemudiannya terus berjuang.”

Wales akan berdepan Slovakia, England dan Russia pada peringkat kumpulan kejohanan utama pertama sejak Piala Dunia 1958.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 7:27 AM