AFP

Chantilly, Perancis: Penyerang Jamie Vardy (gambar) yang membawa cita-cita besar Leicester City bersama England dalam kempen Euro 2016 terus bersemangat selepas mendapat kata-kata perangsang pengurus kelabnya Claudio Ranieri.

Selepas hanya memanaskan bangku simpanan ketika England seri berdepan Russia pada perlawanan pembukaan, Vardy pantas melakukan impak 11 minit sebaik dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua menentang Wales dengan menjaringkan gol penyamaan untuk skuad kendalian Roy Hodgson bangkit mencatat kemenangan 2-1.

Vardy memberitahu pemberita kelmarin dia menerima ucapan ringkas ‘Tahniah juara’ daripada Ranieri.

Ketika dia kini dihangatkan dengan perpindahan ke Arsenal, Vardy tidak menyembunyikan hubungan baiknya dengan Ranieri apabila menyatakan dengan penuh gembira: “Apa yang beliau hiraukan hanyalah menyerang!”

Vardy kini berharap Hodgson juga terpikat dengan persembahannya ketika menentang Wales untuk dia berada dalam kesebelasan utama berdepan Slovakia awal pagi esok.

Vardy mencipta sensasi dalam kempen Liga Perdana apabila menyumbat 24 gol untuk membantu Leicester merangkul kejuaraan yang menyaksikannya memenangi pelbagai anugerah.

Pencapaian baik peribadinya itu berterusan apabila dia dipanggil menyertai skuad England bagi saingan Euro dan melangsungkan perkahwinan dengan Rebekah selepas itu. Sebelum ini pasangan itu terpaksa menangguhkan perkahwinan mereka tiga kali.

Ia menyebabkan Vardy terlepas aksi ketika England mencatat kemenangan ke atas Australia dan menyaksikan Harry Kane dipilih sebagai penyerang utama di Perancis oleh Hodgson.

Namun Vardy kini memiliki kelebihan untuk merebut kembali tempat itu.

Dia yang tidak meletakkan harapan tinggi untuk berada dalam kesebelasan utama percaya dengan apa yang dicapai Leicester mampu mendorong England meneruskan misi besar mereka.

“Tiada apa yang perlu ditakutkan dengan pasukan lain,” katanya. “Anda hanya perlu turun beraksi dengan keyakinan bahawa tidak kira siapa lawan anda, anda boleh menewaskan mereka.

“Mudah saja, semua pasukan boleh dikalahkan. Itu keyakinan yang perlu ada dan diharap kami boleh bawa ke dalam permainan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 10:46 AM