GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Muhaamad Hafis Nawawi


Putrajaya: Fokus kerajaan ketika ini adalah untuk mengembalikan semula aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walaupun sudah ada perjanjian antara Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) dengan ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, fokus kerajaan adalah aset 1MDB dan difahamkan sudah ada penyelesaian DOJ dengan Jho Low.

Menurutnya, itu adalah urusan DOJ dengan Jho Low tetapi fokus Malaysia adalah aset itu.

"Jika aset itu dikembalikan kepada DOJ dan kita tahu aset itu milik negara, maka kita akan minta dikembalikan," katanya pada sidang media Larian Polis 'Community Safety Run' Sempena Peringatan Hari Polis Ke 217 di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.

Ketika ditanya adakah usaha membawa pulang aset 1MDB akan menjejaskan pemburuan Jho Low, Saifuddin berkata, fokus ketika ini adalah untuk mengembalikan aset terbabit.

Terdahulu media melaporkan DOJ memeterai perjanjian sulit dengan Jho Low dalam usaha mencapai penyelesaian menyeluruh dan mungkin pengakhiran usaha memperoleh semula aset serta hartanah haram dikaitkan dengan skandal rasuah 1MDB.

Perjanjian itu mungkin menyelesaikan secara tuntas tindakan merampas aset-aset sivil, jenayah dan pentadbiran atau prosiding berkaitan pelupusan aset yang dikaitkan dengan 1MDB.

Menurut dokumen-dokumen itu serta eksekutif yang rapat dengan perkembangan berkenaan, DOJ menandatangani perjanjian sulit dengan peguam keluarga Jho Low dan pemegang amanah kewangan mereka pada awal bulan ini.

Ia membabitkan penyerahan aset yang sebelum ini dikenal pasti oleh pihak berkuasa serta yang belum dituntut atau diambil agensi pendakwaan seluruh dunia di bawah pelan penyelesaian baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2024 @ 3:05 PM