Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pelbagai usaha dilakukan dalam menyelesaikan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) susulan penahanan sekutu Jho Low ketika pulang ke negara ini melalui penerbangan dari Hong Kong, Rabu lalu.

Pengerusi Pasukan Petugas 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pihaknya melakukan banyak perkara khususnya mendapatkan kembali aset 1MDB.

"Saya lebih menumpukan kepada mendapatkan kembali aset manakala mana-mana kes membabitkan jenayah termasuk penangkapan akan dibuat oleh pihak berkuasa.

"Insya-Allah, pelbagai usaha sedang kita lakukan termasuk membabitkan Goldman Sachs," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dataran Kampung Baru, di sini, hari ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan cubaan suspek skandal 1MDB dan SRC International Sdn Bhd pulang ke negara ini selepas enam tahun menghilangkan diri, gagal apabila ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, suspek yang difahamkan bersembunyi di Hong Kong mencuba nasib pulang ke tanah air, namun tidak menyangka dia termasuk dalam senarai orang dikehendaki.

Pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang mendapati suspek tersenarai sebagai orang dikehendaki kemudian memaklumkan kepada SPRM.

Suspek terbabit juga dikatakan kenalan rapat kepada Low Taek Jho atau Jho Low yang kini diburu pihak berkuasa bagi membantu kes 1MDB.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), suspek diserahkan Notis Perintah untuk hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 10 pagi, Rabu lalu.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kerajaan sedang mengadakan rundingan menerusi saluran diplomatik dengan beberapa negara bagi mempercepatkan proses membawa pulang Jho Low.

Anwar dilaporkan berkata, proses berkenaan agak rumit kerana membabitkan beberapa negara termasuk aspek perisikan dan Interpol.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 1:51 PM