JHO Low.
JHO Low.
BERNAMA

JABATAN Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat mencapai penyelesaian untuk mendapatkan semula aset bernilai lebih US$700 juta yang diperoleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau Jho Low, dan keluarganya menggunakan dana yang didakwa diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam satu kenyataan, DoJ berkata aset itu terletak masing-masing di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Switzerland.

Dengan muktamadnya penyelesaian itu, sekali dengan pelupusan kes pelucutan hak sebelum ini, Amerika Syarikat akan memperoleh semula atau membantu dalam pemerolehan aset bernilai lebih US$1 bilion yang mempunyai kaitan dengan skim pengubahan wang haram antarabangsa dan rasuah 1MDB, menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut ini pemerolehan terbesar setakat ini di bawah Inisiatif Pemerolehan Aset Kleptokrasi jabatan berkenaan dan pelucutan hak sivil terbesar yang pernah diselesaikan oleh DoJ.

“Perjanjian penyelesaian ini mengakibatkan Low dan keluarganya terpaksa melepaskan beratus-ratus juta dolar yang diperoleh secara haram, yang sepatutnya digunakan bagi manfaat rakyat Malaysia,” Penolong Peguam Negara Brian A Benczkowski daripada Bahagian Jenayah Jabatan Keadilan itu dipetik sebagai berkata.

Dalam kenyataan berasingan, Jho Low mengesahkan penyelesaian sudah pun dicapai dengan kerajaan Amerika berhubung kes pelucutan hak sivil.

Menurutnya, ia “menyelesaikan sepenuhnya dan selama-lamanya setiap tindakan sivil, jenayah dan pentadbiran atau prosiding kerajaan Amerika berkaitan dengan aset defendan yang menjadi isu itu di Daerah Tengah California”.

Jho Low, bagaimanapun, menegaskan perjanjian itu tidak sepatutnya dianggap sebagai pengakuan bersalah, liabiliti atau sebarang bentuk salah laku oleh beliau atau pemilik aset.

Dalam kenyataan DoJ itu, peguam Amerika Nicola T Hanna daripada Daerah Tengah California menegaskan jumlah wang yang begitu besar diseleweng daripada 1MDB dengan kesannya ditanggung oleh rakyat Malaysia, dilaburkan secara haram melalui pembelian aset mewah di Amerika dan beberapa negara lain.

“Hasil daripada penyelesaian ini, seorang daripada lelaki yang didakwa berada di tengah-tengah skim besar-besaran ini akan kehilangan semua akses kepada beratus-ratus juta dolar," kata Hanna.

Kenyataan DoJ itu menyebut berdasarkan aduan pelucutan hak sivil, dari 2009 hingga 2015, lebih US$4.5 bilion dana kepunyaan 1MDB didakwa diseleweng oleh pegawai tertinggi 1MDB dan sekutu mereka, termasuk Jho Low, menerusi konspirasi jenayah membabitkan pengubahan wang haram antarabangsa dan rasuah.

Berdasarkan terma penyelesaian itu, Jho Low, anggota keluarganya dan FFP, sebuah entiti Kepulauan Cayman yang bertindak selaku pemegang amanah yang menyelia aset yang menjadi isu dalam tindakan pelucutan hak ini, bersetuju untuk melepaskan semua aset, tertakluk kepada penyelesaian aduan pelucutan hak, yang mana mereka mempunyai potensi kepentingan.

Aset yang tertakluk kepada perjanjian penyelesaian itu termasuk hartanah di kawasan mewah di Beverly Hills, New York dan London, sebuah butik mewah di Beverly Hills serta berpuluh-puluh juta dolar dalam bentuk pelaburan perniagaan yang didakwa dilakukan oleh Jho Low menggunakan dana yang boleh dikesan asalnya daripada wang 1MDB yang diseleweng.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 2:48 PM