Wartawan NSTP

BARISAN peguam yang mewakili ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low didakwa berhubung dengan pegawai Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) untuk mencari jalan penyelesaian berkenaan pemulangan aset disita yang dipercayai diperoleh menerusi wang yang diseleweng daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menurut laporan sebuah portal berita, ketua pasukan peguam Jho Low, Chris Christie sudah mendapat kebenaran untuk bertemu dengan pegawai atasan DoJ.

“Difahamkan, Jho Low menyedari beliau tidak mampu meyakinkan mahkamah Amerika Syarikat untuk memulangkan aset bernilai AS$1.2 bilion yang dirampas pihak berkuasa negara itu sebelum ini.

“Bagaimanapun, beliau berharap dapat terus memiliki sebahagian daripada aset berkenaan walaupun berdepan dengan tuduhan jenayah di beberapa negara lain selain Malaysia dan Amerika Syarikat termasuklah Singapura dan Switzerland,” katanya.

Difahamkan, pasukan peguam Jho Low turut dibayar menggunakan wang hasil penyelewengan 1MDB.

Mengulas lanjut, kesediaan DoJ untuk membincangkan jalan penyelesaian berhubung kemelut terbabit adalah bagi membolehkan pihak berkuasa Amerika Syarikat menumpukan perhatian terhadap aspek lain dalam skandal 1MDB.

Selain itu, portal berita terbabit turut melaporkan bahawa firma kewangan gergasi Goldman Sachs dipercayai mengatur isu bon bernilai berbilion ringgit bagi 1MDB sebelum berlakunya penyelewengan.

“Bank terbabit amat tidak disenangi rakyat Amerika Syarikat kerana menyebabkan berlakunya krisis kewangan pada 2008 malah sehingga kini masih belum menerima sebarang hukuman.

“Kecuaian yang ketara dan sejumlah wang yang diperoleh firma berkenaan melalui 1MDB adalah bukti yang jelas bagi penyiasat Amerika Syarikat untuk mengambil tindakan terhadap bank yang tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

Bagaimanapun, cara penyelesaian kemelut terbabit dipercayai tidak akan diterima baik oleh pihak berkuasa Malaysia.

Baru-baru ini, Amerika Syarikat enggan memberikan jaminan kepada kerajaan Malaysia berhubung aset yang dirampas akan dipulangkan kepada pihak berkuasa negara ini.

“Ini bermaksud, bukannya Amerika Syarikat tidak akan memulangkan kembali wang terbabit, sebaliknya menunjukkan yang mereka tegas ingin mengawal semua proses yang mungkin akan berakhir dengan pemulangan jumlah yang lebih rendah berbanding keseluruhan nilai rampasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 8:49 AM