BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. FOTO Zaaba Zakeria
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. FOTO Zaaba Zakeria
Murni Wan Omar dan Sarah Zulkifli


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa rancangan usahasama dengan Abu Dhabi adalah idea dan perancangan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho selepas melalui perbincangan mendalam dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mempunyai kuasa mutlak dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, ini juga berdasarkan maklum balas Jho Low dan pelan perancangan melalui e-mel sulitnya (Jho Low).

“Ini jelas bahawa usahasama ini perlu disegerakan kerana mahu memastikan kehadiran Putera Mahkota Abu Dhabi sebagai saksi ketika perjanjian ini dimeterai kerana ia penting dari segi politik memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU13) hampir tiba.

“Jho Low sendiri yang memaklumkan bahawa usahasama ini akan memberi kesan kepada PRU13,” katanya.

Terdahulu, saksi kesembilan ini dirujuk oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram kepada Resolusi 1MDB Global Investments Limited (GIL) bertarikh 12 Mac 2013.

“Dokumen ini membenarkan 1MDB GIL untuk mendapatkan pengutipan dana sebanyak AS$3 bilion yang disokong melalui surat sokongan. Ketika saya tandatangan bagi mewakili 1MDB, dokumen itu tidak bertarikh.

“Apabila melihat kepada dokumen ini sekarang, saya rasa sememangnya satu yang tidak logik, untuk ia ditarikhkan pada 12 Mac 2013 di mana pada masa itu terlalu banyak perkara berlaku seperti pertemuan antara Malaysia dan Abu Dhabi.

Menurut Shahrol, berdasarkan perancangan Jho Low, satu pertemuan dibuat antara Najib dan Putera Mahkota Abu Dhabi dan perbincangan diadakan antara pihak 1MDB dan Aabar (melalui peranan Jho Low di belakang secara sulit).

“Upacara perjanjian dua hala antara 1MDB dengan Aabar dibuat pada 12 Mac 2013. Perjanjian usahasama ini adalah untuk memeterai perjanjian bernilai RM18 bilion. Perjanjian ini ditandatangani oleh Pengerusi 1MDB Chairman, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin dan Pengerusi Aabar, Khadem Al Qubaisi.

“Upacara ini dilakukan di hadapan Najib dan Timbalan Komandan Tertinggi Angkatan Bersenjata Emiriah Arab Bersatu yang juga Putera Mahkota Emiriah Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan,” katanya.

Shahrol berkata, ini adalah peristiwa besar yang meyakinkannya terhadap pelaburan antara 1MDB dan Aabar di mana ia membabitkan usahasama strategik kedua-dua negara.

“Peranan Najib yang aktif dalam membincangkan perkara ini dan juga arahan serta mandat daripada beliau yang menyakinkan saya untuk melaksanakan usahasama ini kerana semua perancangan adalah melalui Jho Low.

“Tindakan Najib ini adalah selari dengan pelan tindakan Jho Low dalam merancang kerjasama ini dan mengikut corak kerjasama yang beliau tentukan,” katanya.

Prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah sedang berjalan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 11:20 AM