Ali Iqbal

Muar: Hanya RM50 sebakul, penggemar raja buah boleh menikmati pelbagai jenis durian termasuk Musang King, IOI dan B13 yang ditawarkan peniaga di Jalan Tangkak-Muar Sungai Mati di sini.

Cetusan idea peniaga durian, Mohd Faris Idris, 36, sekali gus memberi peluang kepada peminat durian untuk merasai buahan 'kayangan' dengan harga yang murah.

"Jika tidak buat begini, orang ramai tidak mampu membeli kerana durian sinonim dengan harga mahal lebih-lebih lagi Musang King, IOI dan B13.

"Kali ini, pelanggan tidak perlu lagi bimbang kerana setiap bakul ini terdapat semua jenis durian. Setiap bakul durian ini terdiri antara tujuh hingga 10 biji bergantung pada saiz.

"Konsep ini paling laris dengan kira-kira 400 bakul sudah terjual setakat ini berbanding jualan mengikut setiap biji yang sebelum ini sambutan kurang menggalakkan.

"Lagipun, sekarang ini durian semakin banyak di pasaran jadi ia bukan sahaja memudahkan buah cepat habis, tetapi memberi peluang kepada semua pelanggan merasainya," katanya ketika ditemui.

Katanya, jualan secara bakul yang pertama kali diperkenalkan tahun ini dan ternyata sambutan diterima sangat memberangsangkan.

"Jika jualan secara bakul habis waktu pagi, saya buka pula pada waktu dengan bekalan durian yang baru sampai.

"Pelanggan pun berpuas hati dengan konsep harga Rahmah ini dan ia akan diteruskan sehingga habis musim," katanya yang mendapat bekalan durian di sekitar daerah ini.

DURIAN dijual secara bakul digerai Mohd Faris Idris, mendapat sambutan menggalakkan. FOTO Ali Iqbal
DURIAN dijual secara bakul digerai Mohd Faris Idris, mendapat sambutan menggalakkan. FOTO Ali Iqbal

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 4:13 PM