Kuala Lumpur: Perniagaan kek atau manisan berasaskan durian yang dikomersialkan beberapa tahun kebelakangan ini pantas mencuri perhatian dan tular.

Malah menjadi alternatif di era pandemik Covid-19 ini bagi mereka yang meneruskan kelangsungan hidup dengan berniaga selepas diuji dengan dibuang kerja dan hilang punca pendapatan.

Pasangan suami isteri sebaya berusia 33 tahun, Mohammad Nasruddin Shah Room dan Nor Fazliah Mohammed yang mengusahakan perniagaan Kek Durian Viral (KDV) tak terkecuali berdepan turun naik dalam kehidupan.

Jualan yang bermula dari rumah secara 'homemade' sejak Ogos 2019 secara suka-suka dan mengikut permintaan itu hingga mampu memikat selera ramai orang dengan 'tagline' 'sebiji tak cukup'.

Ia akhirnya menjadi serius dan punca pendapatan utama pasangan berkenaan hingga mampu memiliki dua bangunan operasi selain pejabat sendiri di Setia Alam, Selangor di bawah syarikat KDV Niaga Sdn Bhd.

"Saya, suami dan anak memang hantu durian. Semua bermula sekitar tahun 2019, suami ada membeli longgokan buah durian. Kemudian baki buah yang ada terfikir nak buat kek berperisa durian. Jadi saya cuba buat resipi ilham ikut tekak sendiri dan suami.

"Daripada untuk makan sendiri, terfikir nak menjualnya. Tak sangka ramai pula yang suka. Bermula dengan mengambil tempahan empat biji sehari. Kemudian, tempahan itu berulang berganda ganda sampai ditempah 100 biji kek sehari. Sebulan pernah cecah 10000 biji kek dihasilkan.

"Masa itu operasi kerja dibuat di rumah kami di Bukit Kapar, Klang dan hanya dibantu seorang jiran di belakang rumah. Saya beri tumpuan utama perniagaan ini dan suami membantu ketika ada masa terluang. Suami pula ketika itu masih bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang," katanya.

Ketika beroperasi di rumah, permintaan KDV menjadi jadi, hingga ada pelanggan yang sanggup datang dari jauh untuk mengulang pembelian serta tempahan.

"Asalnya tempahan dan jualan kek durian kami dijual dalam pelbagai saiz termasuk yang bertingkat tingkat. Tapi sebab masa itu tak cukup tenaga pekerja, maka diputuskan hanya satu saiz iaitu 6 inci saja dijual tetapi ada variasi jenisnya.

"Ia dijual dari harga RM30 ke RM75. Kek ini akan jadi lebih mahal jika lagi banyak isi durian digunakan. Nama viral pada KDV itu diberikan oleh pelanggan setia kami sendiri hingga melekat. Begitu juga dengan tagline 'sebiji tak cukup' yang diakui kebanyakan pelanggan dan pembeli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 11:30 PM