FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Serdang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memeriksa 31,100 di seluruh negara membabitkan pelbagai peringkat rantaian pengedaran termasuk pengilang, pemborong dan peruncit menerusi Ops Jamin.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, pemeriksaan diadakan bermula 7 Julai hingga semalam dan daripada jumlah itu, sebanyak empat kes diambil ke atas peniaga kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Selain itu katanya, empat kes membabitkan Akta Perihal Dagangan 2011 dan dua kes mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 menjadikan 10 kes secara keseluruhannya diambil tindakan oleh KPDN.

"Manakala sebanyak 331 aduan membabitkan aduan harga, bekalan dan lain-lain berkaitan beras diterima dalam tempoh yang sama dan telah disalurkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk tindakan lanjut.

"Tujuan pemeriksaan ini dilakukan adalah bagi melihat sendiri situasi semasa yang berlaku di lapangan berhubung kedudukan bekalan dan harga beras di peringkat runcit serta barangan keperluan harian yang lain termasuk gula, minyak masak dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melaksanakan pemeriksaan Ops Jamin di Pasar Raya Super Seven, Cheras Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir pengurusan tertinggi kementerian, Bahagian Penguat Kuasa (BPGK) KPDN dan Penguat Kuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Negeri Selangor serta KPKM.

Fuziah berkata, bermula pada 7 Julai lalu, KPDN dan KPKM melancarkan Kolaborasi Bersepadu Ops Jamin bagi memastikan keterjaminan bekalan beras dengan harga yang stabil dan terkawal untuk keperluan pengguna.

"Pada masa yang sama, pemeriksaan Ops Jamin ini bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Kementerian.

"KPDN memberi jaminan akan terus membantu KPKM dalam melakukan pemeriksaan di bawah Ops Jamin di seluruh Negara.

"Pada masa yang sama akan terus menggiatkan tindakan penguatkuasaan di bawah perundangan serta bidang kuasa KPDN terutamanya dalam menangani isu penukaran label kampit beras yang dikhuatiri berlaku susulan pelarasan harga baharu bagi beras putih import (BPI)," katanya.

Beliau berkata, tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama mengikut Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730].

"KPDN juga menguatkuasakan Akta Timbang Dan Sukat 1972 [Akta 71] dan sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang berkaitan alat timbang dan sukat membabitkan padi dan beras, tindakan juga boleh diambil ke atas pihak yang terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 2:37 PM