PEGAWAI Perhilitan melakukan pemeriksaan terhadap harimau betina  yang berjaya ditangkap menggunakan perangkap khas. Foto Rosli Ilham
PEGAWAI Perhilitan melakukan pemeriksaan terhadap harimau betina yang berjaya ditangkap menggunakan perangkap khas. Foto Rosli Ilham
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Rosli Ilham


Kuala Lumpur: Kemunculan harimau belang betina digelar Mek Santong yang sebelum ini menggusarkan penternak lembu serta penduduk di kawasan Felda Kerteh, Terengganu berakhir apabila haiwan pemangsa itu berjaya ditangkap.

Harimau betina seberat 104 kilogram (kg) itu diperangkap menggunakan jerat dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia di kawasan Hutan Simpan Rasau, Kerteh, Terengganu.

Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, harimau berkenaan didapati memasuki perangkap pada Rabu lalu.

Susulan itu operasi bagi menyelamatkan harimau belang berkenaan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Konservasi Hidupan Liar Perhilitan ibu pejabat dan daerah Dungun, pasukan taktikal khas Special Protected Area Response Team (Sparta), Pusat Konservasi Harimau Malaya serta pakar dari Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC).

"Pihak Perhilitan terlebih dahulu menggunakan pelali untuk memindah keluar harimau berkenaan dari dalam perangkap sebelum pemeriksaan kesihatan serta melakukan prosedur morfologi pengambilan sampel darah.

HARIMAU betina dewasa yang berjaya diperangkap selepas dikesan merayau sekitar Felda Kerteh, Terengganu. Foto Rosli Ilham
HARIMAU betina dewasa yang berjaya diperangkap selepas dikesan merayau sekitar Felda Kerteh, Terengganu. Foto Rosli Ilham

"Operasi memindahkan harimau itu yang bermula jam 7.30 pagi kelmarin berakhir pada 12.45 tengah malam semalam apabila harimau itu berjaya dibawa ke NWRC di Sungkai, Perak," katanya.

Kadir berkata, maklumat awal mendapati harimau belang dikenali sebagai Mek Santong itu berusia sekitar enam tahun dan kini dalam keadaan sihat.

Difahamkan kehadiran harimau belang itu menimbulkan kebimbangan penduduk di kawasan Felda Kerteh 1, 4, 5 dan 6, Dungun, Terengganu.

Sementara itu, pihak Perhilitan yang menerima laporan berhubung kehadiran binatang liar terbabit bertindak memasang perangkap di lokasi berkenaan sebelum Ramadan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung JPKK Felda Kerteh 1, Wan Zukri Wan Yusuf berkata, sebelum ini kehadiran harimau itu mendatangkan kerisauan dan kerugian terhadap penternak selepas ternakan lembu mereka dibaham harimau.

"Syukur, apabila seekor harimau berjaya ditangkap dan keadaan itu sekali gus melegakan penternak dan penduduk di sini.

"Kita berharap tiada lagi berlaku kejadian serangan harimau terhadap ternakan penduduk berlaku lagi di sini," katanya.

Difahamkan, tangkapan terbaru itu adalah kes ketiga di kawasan Felda berkenaan selepas tangkapan pertama seekor harimau jantan digelar Awang Rasau dilakukan pada Febuari 2021 di kawasan Felda Kerteh 2, Terengganu.

Lima bulan selepas itu, seekor lagi harimau belang berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang di Ladang Felda Kerteh 4.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 7:02 AM