Perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan untuk menangkap dua ekor harimau belang yang berkeliaran di Kampung Remau, Pos Bihai, Gua Musang. FOTO IHSAN PERHILITAN
Perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan untuk menangkap dua ekor harimau belang yang berkeliaran di Kampung Remau, Pos Bihai, Gua Musang. FOTO IHSAN PERHILITAN
Hazira Ahmad Zaidi


Gua Musang: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan memasang perangkap bagi menangkap dua harimau belang yang dipercayai berkeliaran di Kampung Remau, Pos Bihai pada Jumaat lalu.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani, berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk mengenai kehadiran dua harimau belang di kampung berkenaan pada jam 5 petang.

Pada masa sama katanya, pihaknya turut menerima beberapa keping gambar serta video harimau belang melalui aplikasi WhatsApp yang dihantar oleh penduduk kampung.

"Susulan aduan yang diterima, pihak kami menjalankan siasatan awal dan pemantauan serta memasang kamera perangkap di lokasi kejadian pada Sabtu lalu.

"Sejak semalam seramai lapan kakitangan Jabatan Perhilitan mula menjalankan operasi tangkapan harimau belang dan pemasangan dua unit perangkap harimau dikenali sebagai "Perangkap Wahab" dan menggunakan kambing hidup bagi mengumpan harimau berkenaan supaya memasuki perangkap yang dipasang," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamad Hafid berkata, operasi tangkapan perlu dilakukan berikutan kedua-dua harimau belang berkenaan masih berkeliaran di sekitar kawasan kampung memandangkan terdapat sumber makanan (ternakan) yang mudah diperoleh.

"Berdasarkan imej dan video yang dirakam oleh penduduk kampung mendapati keadaan fizikal kedua- dua ekor harimau belang ini berkeadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan luaran.

"Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada harimau belang berkenaan sudah dijangkiti virus Canine Distemper seperti yang berlaku kepada Awang Besul, iaitu Harimau Belang yang ditangkap di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Dunggun, Terengganu pada 19 Julai 2019 berikutan kedua-dua harimau itu menunjukkan tingkah laku tidak takut kepada manusia," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi memastikan keselamatan penduduk kampung Orang Asli di Kampung Remau, mereka sudah diminta berpindah sementara ke kampung berhampiran iaitu Kampung Tendrik, Pos Bihai.

"Dalam masa sama, akses laluan masuk ke Kampung Remau juga ditutup sementara bagi membolehkan operasi tangkapan ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

"Terdapat lebih kurang tujuh keluarga yang mendiami kampung berkenaan dan perjalanan ke kampung itu mengambil masa lebih kurang tiga jam bergantung kepada faktor cuaca serta jalan sedia ada yang hanya boleh dilalui dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda sahaja," katanya.

Mohamad Hafid berkata, Jabatan Perhilitan akan menjalankan pemantauan secara berterusan di lokasi sehingga operasi tangkapan harimau belang itu berjaya selain penggiliran tugas kakitangan jabatan juga akan dilaksanakan bagi memastikan operasi tangkapan berjalan lancar.

"Orang ramai disarankan lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88- 5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," katanya.

Beliau berkata, mengikut rekod, pada 15 Julai lalu, pihaknya berjaya menangkap seekor harimau belang di Kampung Badak, Pos Bihai, Gua Musang selepas menyerang seorang penduduk kampung berkenaan.

"Harimau belang yang diberi gelaran "Syamilla Bihai" itu ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk menerima rawatan setelah mengalami beberapa kecederaan serius akibat pergelutan dengan mangsa serangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 1:32 PM