Oleh Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kes demam denggi di Kelantan meningkat sebanyak 583 peratus sehingga Februari tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sepanjang tempoh itu sebanyak 280 kes demam denggi direkodkan sejak Januari sehingga 25 Februari lalu berbanding 41 kes tahun lalu.

Katanya, bagaimanapun jumlah kes tahun ini lebih rendah berbanding jumlah kes tahun sebelum pandemik Covid-19 iaitu penurunan sebanyak 72.7 peratus pada 2020 atau 1,028 kes dan 59.8 peratus atau 697 kes pada 2019.

"Wabak denggi yang dilaporkan sehingga 25 Februari adalah sebanyak 11 berbanding dua wabak pada tempoh sama tahun lalu.

"Daripada sembilan wabak denggi yang dilaporkan, tujuh wabak sudah tamat manakala empat wabak lagi masih aktif," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Jururawat Patuh Syariah di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, aktiviti kawalan dan pencegahan sudah dijalankan untuk semua kes dan wabak denggi yang dilaporkan di semua lokaliti bagi memutuskan rantaian jangkitan.

"Sebagai contoh, aktiviti kawalan vektor membabitkan pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan turut dijalankan untuk setiap kejadian kes tunggal atau wabak.

"Di samping itu, aktiviti pencegahan juga dipertingkatkan di lokaliti keutamaan dan berisiko di seluruh negeri Kelantan.

"Sehingga 25 Februari sejumlah 97,784 premis sudah diperiksa dan 463 kompaun dengan nilai RM231,500 sudah dikeluarkan kepada pemilik premis yang dijumpai terdapat pembiakan Aedes dan mereka dikenakan kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 [Akta 154]," katanya.

Beliau berkata, bagi membendung penyakit demam denggi daripada terus merebak dan mengancam kesihatan penduduk di negeri Kelantan, seluruh lapisan masyarakat perlu bersama-sama memikul tanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran.

"Dalam masa sama, JKNK turut menyeru orang ramai untuk bersama-sama mengambil tanggungjawab bagi memastikan persekitaran premis bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes supaya kes dan wabak denggi menurun," katanya.

Zaini Hussin ketika sidang media. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Zaini Hussin ketika sidang media. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 12:44 PM