GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Kelantan berada pada tahap berjaga-jaga apabila merekodkan 945 kes dalam tempoh seminggu sehingga 14 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kes berkenaan dicatatkan pada minggu Epid ke-19antara 8 hingga 14 Mei.

Katanya, jumlah kumulatif kes HFMD yang dilaporkan di negeri ini adalah sebanyak 2,493 kes tahun ini.

"Terdapat peningkatan kes sebanyak 934 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu, dimana hanya 241 kes sahaja dilaporkan.

"Dari segi kejadian wabak, sebanyak 18 wabak HFMD sehingga minggu Epid ke-19 tahun ini yang sebahagian besar membabitkan taska dan pusat jagaan kanak-kanak berbanding hanya satu wabak sahaja bagi tempoh yang sama tahun lalu," katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata, daripada jumlah kes HFMD yang dilaporkan, majoriti kes adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur antara satu hingga empat tahun iaitu sebanyak 73.8 peratus.

Beliau berkata, secara keseluruhan 94.1 peratus dari kes yang dilaporkan adalah berumur enam tahun dan ke bawah.

"JKNK ingin menasihati orang ramai, terutama yang mempunyai anak-anak kecil supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan kes HFMD iaitu basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, sebelum dan selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak.

"Jangan berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, garpu, dan sudu dengan individu yang bergejala.

"Selain itu, ibu bapa dinasihati supaya tidak menghantar kanak-kanak ke pusat jagaan, taska, tadika atau sekolah dan membawa anak-anak yang sakit ke klinik untuk rawatan," katanya.

Dr Zaini berkata, ibu bapa boleh memohon cuti kuarantin untuk menjaga anak dan dinasihatkan tidak membawa anak ke tempat awam seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah, stesen bas dan lain-lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 4:17 PM