PENGUAT KUASA KPB memeriksa beras yang masih berada di dalam kontena di Bintulu, Sarawak. FOTO ihsan KPB
PENGUAT KUASA KPB memeriksa beras yang masih berada di dalam kontena di Bintulu, Sarawak. FOTO ihsan KPB
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Segelintir peniaga dikesan menukar pembungkusan beras seludup atau beras tidak sah kepada paket yang lebih kecil untuk mengaburi pihak berkuasa.

Bagaimanapun taktik itu dikesan Bahagian Penguat Kuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB) selepas melakukan siri Ops Smuggle dan India Gate sejak Rabu lalu.

Beras yang sudah dipaketkan semula diletakkan di dalam kotak beras satu kilogram manakala ada juga yang masih disimpan di dalam kontena di gudang.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Azman Mahmood berkata, dalam serbuan sekitar Georgetown, Pulau Pinang Rabu lalu, pihaknya merampas 6.5 tan pelbagai jenis beras termasuk Basmathi dan Chinigura dari India.

Katanya, beras berkenaan mendapat permintaan yang tinggi di pasaran tempatan berikutan kualiti yang lebih baik berbanding yang diimport Bernas.

"Kita dapati permintaan tinggi dalam kalangan pemborong, peruncit dan restoran India di Pulau Pinang.

"Pembekal mempunyai jadual tersendiri untuk menghantar beras kepada kedai dan mereka membawa jumlah yang lebih untuk dijual kepada pembeli tanpa sebarang invois," katanya kepada Harian Metro.

Azman berkata, dalam serbuan di Tanjung Kidurung, Bintulu, Sarawak semalam, pihaknya merampas 23 tan beras Vietnam bernilai RM85,790 yang dibawa masuk secara tidak sah dari pelabuhan.

Katanya, ketika serbuan, stok beras berkenaan masih berada di dalam kontena untuk dihantar kepada pemborong.

"Mereka melakukan kesalahan mengikut Perkara 8(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996," katanya.

Secara keseluruhan, operasi berkenaan mendapati ada juga peniaga yang mempamerkan beras terbabit secara terbuka untuk jualan kepada pelanggan.

"Saya ingin memberi amaran, KPB akan terus menggempur lokasi di mana kita tahu ada beras seludup atau beras tidak sah ini.

"Kita tidak akan memberi ruang kerana sindiket ini bukan saja melanggar undang-undang, tetapi dalam skala yang lebih besar, mereka menjejaskan industri padi dan beras negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 12:16 PM