GANJA mampat seberat 2.2 kilogram bernilai RM22,300 yang dirampas polis dari suspek berusia 36 tahun di pejabat pos laju Jalan Song, Kuching. FOTO Ihsan PDRM
GANJA mampat seberat 2.2 kilogram bernilai RM22,300 yang dirampas polis dari suspek berusia 36 tahun di pejabat pos laju Jalan Song, Kuching. FOTO Ihsan PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


DI sebalik tugas sebagai pensyarah, lelaki turut mengedar dadah sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, dia akhirnya ditahan polis di pejabat pos laju di Jalan Song, Kuching, kelmarin.

Suspek berusia 36 tahun itu ditahan 10 pagi oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak hasil risikan dan maklumat awam.

Hasilnya, polis menemui daun kering mampat ganja seberat 2.2 kilogram yang dianggarkan bernilai RM22,300.

Ketua JSJN Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, suspek yang mengajar di universiti swasta di bandar ini dilihat dalam keadaan mencurigakan di depan pejabat pos laju berkenaan sebelum polis memperkenalkan diri untuk pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, suspek membawa polis memeriksa Perodua Myvi miliknya dan menemui dua bungkusan ganja selain sebungkus lagi yang baru diterima suspek menerusi perkhidmatan kurier.

"Polis seterusnya dibawa ke tempat kerja suspek dan menemui tiga bungkusan ganja disorok di atas siling tandas wanita.

"Ganja mampat itu disimpan di dalam kotak bersama beg selain menemui alat penimbang, plastik membungkus dan pisau," katanya, hari ini.

Sahar berkata, suspek dipercayai menjual dadah kepada penagih tempatan, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti pelanggannya.

Beliau berkata, suspek mengaku menagih dadah sejak lapan tahun lalu, namun mula mengedar sejak pertengahan tahun ini.

"Suspek yang positif dadah kini direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 11:12 AM