Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail menunjukkan bungkusan dipercayai mengandungi dadah bernilai RM55,000 dihantar melalui perkhidmatan kiriman kurier dari Kelantan ke Sibu, semalam. FOTO BERNAMA
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail menunjukkan bungkusan dipercayai mengandungi dadah bernilai RM55,000 dihantar melalui perkhidmatan kiriman kurier dari Kelantan ke Sibu, semalam. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Sibu: Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu merampas dua bungkusan dipercayai mengandungi dadah bernilai RM55,000 dihantar melalui perkhidmatan kiriman kurier dari Kelantan ke Sibu, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, bungkusan mengandungi 1.1 kilogram (kg) syabu bernilai RM50,000 dan 2kg ganja bernilai RM5,000 didapati dihantar ke alamat palsu, di sini.

"Bungkusan berkenaan dipercayai sampai kira-kira dua bulan lalu dan sejak hari pertama kami memerhatikan siapa yang akan mengambil bungkusan di pejabat perkhidmatan kurier di Jalan Tun Abang Haji Openg.

"Setelah menunggu lama, polis memutuskan untuk memeriksa dan merampas bungkusan tidak dituntut pada 1.30 tengah hari semalam," katanya pada sidang media, hari ini.

Aidi berkata, dadah dirampas itu berpotensi dibekalkan kepada 3,100 penagih dan polis Sarawak lebih berjaga-jaga dalam mencegah penyeludupan dadah ke negeri itu melalui perkhidmatan kurier.

Beliau berkata, pihaknya turut menyalurkan maklumat diperoleh kepada pasukan di Kelantan untuk mereka menjejaki penghantar bungkusan berkenaan dan risikan terus dijalankan bagi mencegah serta melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah melalui perkhidmatan kurier ke Sarawak.

Sementara itu, Aidi berkata, polis menahan enam individu dipercayai ahli kumpulan sindiket pengedaran dadah dikenali sebagai Geng Apoi dan merampas dadah bernilai RM15,587 pada Ahad lalu.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat risikan, pihaknya menahan dua lelaki tempatan, tiga wanita tempatan dan seorang lelaki warga China berumur antara 18 hingga 39 tahun selepas menyerbu rumah di Jalan Wawasan pada 9.30 pagi.

"Ketika serbuan, polis menjumpai beg plastik mengandungi lapan paket lutsinar berisi 6.13 gram (g) serbuk kristal dipercayai syabu, 12 paket plastik dilabelkan 'Milk Lover' mengandungi 410.64g ekstasi dan dua paket plastik dengan tulisan Cina mengandungi 102.34g ekstasi.

"Turut ditemukan beg plastik mengandungi 15 paket lutsinar berisi 33.84g syabu, bekas plastik berisi 70 pil ekstasi pelbagai warna dan paket plastik lutsinar mengandungi 24 kerajang timah mengandungi 68.48g Erimin 5.

"Polis turut merampas wang tunai RM6,556 dan sebuah kereta Perodua Aruz, manakala suspek yang didapati positif Amphetamine/Methamphetamine telah direman selama tujuh hari bermula semalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 7:12 PM