Steven Sim Chee Keong (tengah) hadir pada Majlis Pelancaran Tajaan kepada pemandu E-Hailing dan P-Hailing Wilayah Zon Utara di Bukit Jawi Golf Resort di sini, Nibong Tebal. FOTO Nur Izzati Mohamad
Steven Sim Chee Keong (tengah) hadir pada Majlis Pelancaran Tajaan kepada pemandu E-Hailing dan P-Hailing Wilayah Zon Utara di Bukit Jawi Golf Resort di sini, Nibong Tebal. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melengkapkan semua input yang diperoleh sebelum membentangkan semula kertas dasar penambahbaikan berhubung penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig di Kabinet, bulan ini.

Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata pembentangan awal mengenai kebolehlaksanaan suruhanjaya itu dilakukan bulan lalu bagi mendapatkan pandangan jemaah menteri yang ia memerlukan penambahbaikan bagi melindungi pekerja sektor berkenaan.

Katanya, antara penambahbaikan itu membabitkan penentuan kadar upah, perlindungan sosial, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta mekanisme kilanan dalam usaha menjaga kebajikan golongan itu.

"Dalam bulan ini (Julai) antara masa satu ke dua minggu lagi kita akan bentangkan satu dasar tentang penambahbaikan yang dilakukan bagaimana ia boleh beri perlindungan kepada pekerja Gig (di negara ini).

"(Antara penambahbaikan berkenaan) pampasan upah yang lebih baik, perlindungan keselamatan sosial, mekanisma kilanan (tidak puas hati).

"Bagaimanapun, ini (masih) membabitkan peringkat awal sebab ia tertakluk pada kelulusan Jemaah Menteri (susulan) membabitkan pindaan atau gubalan undang -undang sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Tajaan kepada pemandu E-Hailing dan P-Hailing Wilayah Zon Utara di Bukit Jawi Golf Resort di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Steven berkata, pekerja Gig tidak termasuk dalam definisi pekerja dalam akta kerja dan sebarang aduan tidak boleh dibuat kepada pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) kerana mereka hanya mengambil aduan daripada pekerja yang didefinisi sebagai pekerja mengikut Akta Kerja 1955.

"Oleh itu, dalam hal ini kita akan melihat semula definisi terbaik mengklasifasikan golongan pekerja Gig pada masa depan.

"Ini kerana melalui sesi libat urus yang diadakan, pekerja Gig ini tidak mahu didefinisikan sebagai pekerja konvensional, maka kita akan mengambil benchmark (penanda aras) negara serantau serta amalan terbaik seluruh dunia dan memperincikan (definisi yang sesuai) mengikut kesesuaian untuk pelaksanaan di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 4:43 PM