STEVEN Sim (kanan) menyampaikan ucapan pada sambutan Hari Pekerja 2024 di PICC, semalam. FOTO - Kesuma.
STEVEN Sim (kanan) menyampaikan ucapan pada sambutan Hari Pekerja 2024 di PICC, semalam. FOTO - Kesuma.
Oleh Samadi Ahmad

Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan memperkenalkan Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan bagi memacu misi strategik 3K (kebajikan, kemahiran dan keberhasilan) diperkenalkan kementerian bagi mengangkat martabat kaum pekerja di Malaysia.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, dasar julung kali diadakan ini mengandungi Tiga Teras, 11 Strategi, 48 Prakarsa, Lima Pemacu Perubahan dan Dua Pemangkin Dasar.

Menurutnya, dokumen kerangka dasar ini dihasilkan selepas mengambil kira maklum balas pemegang taruh dan orang ramai melalui sesi libat urus, kumpulan tumpu bincang, townhall dan portal kaji selidik atas talian.

Katanya, lebih 2,000 maklum balas diterima dan dijadikan pertimbangan untuk menghasilkan Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan ini.

"Kerangka dasar ini merangkumi isu-isu penting berkaitan pekerja seperti pampasan upah yang lebih lumayan, kesejahteraan pekerjaan, gerakan kesatuan sekerja, perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh, tenaga kerja golongan rentan seperti wanita, warga emas, golongan orang kurang upaya (OKU), hal ehwal pekerja sektor gig, isu berkaitan latihan kemahiran, ketidakpadanan pekerjaan, tenaga kerja asing, kesan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) ke atas pasaran kerja dan sebagainya," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Sambutan Hari Pekerja 2024 bertemakan Pekerja Kesuma Bangsa dan pelancaran Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan ini disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri 1 Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri 2 Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Steven Sim berkata, kerangka dasar ini seterusnya akan menjadi panduan bagi menghasilkan Dasar Sumber Manusia Kebangsaan yang lengkap menjelang Rancangan Malaysia Ke-13.

Menurutnya, Kesuma berharap menjadi antara kementerian pertama yang mempunyai dokumen dasar utama yang selaras dengan RMK-13 kelak.

Katanya, dalam usaha Reformasi 100 Hari, Kesuma juga melaksanakan 80 pembaharuan yang boleh dirangkulkan dalam empat tema utama iaitu; gaji pekerja yang lebih wajar, kemahiran pekerja yang lebih tinggi, perlindungan keselamatan sosial lebih menyeluruh dan tatakelola lebih baik.

"Pada tahun ini Kesuma juga akan menyemak semula kadar gaji minimum. Kajian 10 tahun menunjukkan gaji minimum mempunyai kesan positif ke atas mereka yang berpendapatan rendah dengan peningkatan upah bulanan individu hampir 60 peratus dari 2010-2019," katanya.

Sim berkata, kementerian sedar bahawa gaji minimum sahaja tidak memadai, terutama melibatkan golongan berpendapatan sederhana ataupun middle-income.

Menurutnya, justeru antara prakarsa kerajaan untuk menambah baik keadaan upah pekerja Malaysia ialah dengan memperkenalkan dasar gaji progresif bagi memacu pampasan upah yang lebih baik.

Katanya, projek rintis dasar gaji progresif yang dilaksanakan bersama Kementerian Ekonomi dijangka akan bermula Jun ini dengan sasaran 1,000 syarikat .

"Kerajaan Madani telah memperuntukkan RM50 juta untuk projek rintis ini dan dijangka 1.05 juta pekerja Malaysia akan mendapat manfaat melalui pelaksanaannya," katanya.

Steven Sim menambah, Kesuma sedar bahawa pampasan upah yang lebih baik berkait rapat dengan keberhasilan yang lebih tinggi dan ia boleh dicapai dengan kemahiran yang lebih tinggi.

Justeru katanya, pada tahun ini, Kesuma akan go all out untuk pelaksanaan latihan kemahiran bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia dengan memperuntukkan RM2.56 bilion bagi menyediakan pelbagai latihan kemahiran.

Menurutnya, terdapat pelbagai kursus dalam pelbagai bidang ditawarkan termasuk bidang kemahiran terkini seperti AI, robotik, teknologi 5G, pengkodan komputer, kemahiran dalam ekonomi hijau green skills dan sebagainya.

Kesuma juga sedang dalam usaha memperkasakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja dan rakyat Malaysia.

Katanya, beberapa pindaan dan pembaharuan juga telah dilaksanakan melibatkan perlindungan Perkeso di bawah Akta 4 meliputi 10 juta pencarum, manakala Skim Insurans Pekerjaan meliputi lebih kurang tujuh juta pencarum.

"Kesuma mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memperuntukkan RM100 juta bagi memberi subsidi untuk Skim Pekerjaan Sendiri dan RM50 juta bagi Skim Suri Rumah kerana ia dapat memperluaskan perlindungan keselamatan sosial Perkeso kepada lebih ramai rakyat di negara ini.

"Pada kali ini Kesuma juga telah menaikkan pemberian wang tunai Anugerah Hari Pekerja kategori individu dari RM5,000 ke RM10,000 dengan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai dinaikkan daripada RM75,000 tahun lalu kepada RM120,000," katanya.

Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Pengurusan & Profesional) dimenangi Mohd Yazid Zakaria, Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Kumpulan Pelaksana) Safiq Mohamad, Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Eksekutif), Lee Soch Khim, Anugerah Tokoh Pekerja Negara Bukan Eksekutif) Suratmin Alwee, Anugerah Tokoh Pekerja Negara (OKU) Prof Dr Zaidi Embong, Anugerah Majikan (Syarikat Besar/GLC) Pos Malaysia, Anugerah Majikan (Perusahaan Kecil/Sederhana) Shining Continuum Symmetry Sdn Bhd.

Bagi Anugerah Kesatuan Sekerja Sektor Awam dimenangi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Anugerah Kesatuan Sekerja Sektor Swasta, Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengurusan Air Pahang Berhad, Anugerah Kesatuan Sekerja Badan Berkanun, Kesatuan Kakitangan Umum Universiti Teknologi Mara (UiTM), Anugerah Media (Individu), Mohd Alhafiz Ithnin dan Anugerah Kontijen Terbaik, Perkeso.

Sepanjang tempoh Sambutan Hari Pekerja 2024 ini Kesuma mengadakan 20 acara antaranya siri forum bersama kesatuan sekerja, perhimpunan dan ikrar integriti Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia, Asean Green Forum, Green Jobs and Green Skills Fair, larian Hari Pekerja, Sayembara Puisi TikTok, karnival kerjaya Kesuma MyfutureJobs di seluruh negara bermula semalam yang menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 10:07 AM