Ahmad Zahid di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul sempena hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N36 DUN Pelangai. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Ahmad Zahid di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul sempena hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N36 DUN Pelangai. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Fahmy A Rosli


Bentong: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai untuk mengundi calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini bagi meneruskan kesinambungan perkhidmatan penyandang sebelum ini, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun di kawasan itu.

Jika calon BN diberi mandat untuk terus mencurahkan khidmat di kawasan itu, Pengerusi BN itu berkata, pihaknya akan melakukan yang terbaik untuk warga Pelangai termasuk penduduk sekitar kawasan itu antaranya dari segi menyediakan kemudahan diperlukan mereka.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kerjasama menerusi keserasian yang terbentuk antara parti komponen Kerajaan Perpaduan lain berupaya memastikan kerusi kubu kuat UMNO itu kekal menjadi milik parti berkenaan.

"BN menaruh penuh harapan supaya calon kita pilih ini sangat terkenal dalam kalangan orang Pelangai dan beliau juga adalah anak Felda. Tentunya lebih sikit 16,000 di Pelangai ini sangat mengharapkan agar kesinambungan perkhidmatan sebagaimana yang dilakukan oleh Allahyarham Datuk Seri Johari.

"Kita berterima kasih kerana rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan ini termasuk (Presiden AMANAH) Datuk Seri Mohammad Sabu dan rakan yang lain... Satu keserasian yang telah terbentuk, khususnya di (dalam PRK) di Johor, kami membantu mereka dan di sini (Pelangai) mereka pula membantu kita.

"Tambahan pula, keyakinan saya agak tinggi kepada Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Pengerusi BN Pahang dan beliau telah dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Pelangai.

"Tentunya Pelangai masih sangat perukan beberapa kemudahan sebagaimana yang saya dapati data-data keperluan mereka. Insya-Allah kita akan lakukan yang terbaik," katanya ketika ditemui di perkarangan Pusat Penamaan Calon PRK DUN Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini, hari ini.

Mengenai keyakinan BN pada PRK kali ini, Ahmad Zahid menasihati jentera parti jangan sesekali mengambil mudah akan keupayaan lawan.

Jika diteliti pencapaian BN dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di kawasan berkenaan, beliau berkata ia sememangnya menjadi kelebihan buat BN, namun mesti berwaspada.

"Tetapi jangan pernah ambil mudah. Dulu Datuk Seri Johari dapat majoriti lebih 4,000 undi dan calon PH ketika itu dapat lebih 2,000. Di atas kertas, jumlahnya memang melebihi 6,000, tetapi jangan pernah terlalu yakin.

"Sebabnya pihak lawan telah bermukim di sini dan menggunakan pendekatan tidak melakukan ceramah besar-besaran Apa kita lakukan mesti mengambil langkah-langkah antaranya mendekati dan merapati pengundi di Pelangai.

"Insya-Allah, kita mesti menggunakan beberapa langkah yang luar biasa dan sesuai dengan kehendak serta citarasa pengundi di Pelangai dan kawasan sekitarnya," katanya.

Sementara itu, mengulas tindakan Haslihelmy DM Zulhasli yang bertanding calon Bebas bagi PRK DUN Pelangai, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan keahlian ahli UMNO Kampung Sum-Sum tergugur secara automatik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 1:16 PM