NUR Jazlan, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
NUR Jazlan, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Umno menasihatkan rakan parti gabungan Kerajaan Perpaduan menjaga sensitiviti sesama mereka bagi memastikan kerjasama politik berkenaan bertahan hingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Nur Jazlan Mohamed sehubungan itu meminta pemimpin parti gabungan Kerajaan Perpaduan tidak sewenang-wenang membuat kenyataan terbuka yang menyebabkan kesan bukan sahaja terhadap hubungan antara parti gabungan malah kepada akar umbi.

Katanya, kenyataan terbuka Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) 47 kes yang membabitkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid termasuk meminta penjelasan daripada Peguam Negara mengenai kes terbabit, adalah tidak kena pada masanya.

Beliau berkata, pemimpin gabungan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP sepatutnya berlaku adil terhadap Ahmad Zahid kerana pada 2018 ketika kes membabitkan bekas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng digugurkan tuduhan atas permintaan Peguam Negara ketika itu, Anthony tidak pula juga meminta penjelasan daripada Tommy Thomas.

"Dalam kes Guan Eng, saya ada buat carian di Internet kalau-kalau ada kenyataan daripada Anthony atau mana-mana pemimpin PH masa itu yang minta Peguam Negara beri penjelasan apabila Jabatan Peguam Negara bertindak buat permohonan untuk gugurkan tuduhan itu yang juga sudah menjalani perbicaraan kes yang lama.

"Jenuh saya cari tapi tak jumpa. Cuma sebagai seorang kawan, saya nak kongsi nasihat kepada Anthony macam yang dia selalu juga cakap; kita berkawan dalam Kerajaan Perpaduan, jadi seeloknya perkara-perkara sensitif yang babitkan kawan-kawan kita kenalah bincang sesama kita saja.

"Bukannya kita bercakap secara terbuka sampai orang lain pun boleh tumpang sekaki kutuk kawan kita," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Nur Jazlan yang juga Ketua Umno Bahagian Pulai, berkata beliau sedar Anthony bimbang mengenai perkembangan terbaru kes Ahmad Zahid ini akan menjejaskan undi calon PH di PRK Parlimen Pulai pada Sabtu ini.

Namun katanya, daripada pengamatannya selepas Guan Eng didakwa sehingga kes itu digugurkan pertuduhan, beliau melihat undi Cina kepada PH terutamanya DAP tidak menurun malah bertambah dengan luar biasa pada PRU15 lalu.

"Jadi Anthony tak perlu risau kononnya isu terbaru Ahmad Zahid ini akan menjejaskan undi kepada calon PH nanti. Sebabnya sejak 2008 lagi, pembangkang ketika itu bekerja keras untuk kalahkan saya di Pulai.

"Macam-macam naratif yang mereka gunakan untuk buatkan pengundi di Pulai terutamanya pengundi Cina menolak saya sebagai calon BN. Akhirnya selepas 10 tahun baru mereka berjaya tewaskan saya sebanyak dua kali dengan bantuan undi Cina.

"Pokok pangkalnya orang Cina di Pulai tak akan terjejas sokongan mereka kepada PH walaupun calon Amanah yang bertanding di kerusi ini. Sebagaimana orang Cina percayakan keadilan sistem kehakiman kita selepas kes Guan Eng digugurkan, saya percaya begitu juga keyakinan mereka masih sama dalam kes Zahid ini," katanya.

Nur Jazlan berkata, dalam tempoh beberapa hari terakhir ini sepatutnya Anthony dan jentera DAP bekerja lebih kuat lagi untuk astikan pengundi Cina di Parlimen Pulai keluar beramai-ramai mengundi dan memenangkan calon Amanah.

Katanya, Sabtu ini adalah ujian besar kepada PH sama ada calon yang dipertaruhkan mereka mampu mempertahankan kerusi Parlimen Pulai sekali lagi.

"Anthony tak perlu bimbang kononnya Ahmad Zahid akan jadi liabiliti kepada Kerajaan Perpaduan ini pada PRK Pulai sebab saya pun sudah terima hakikat bahawa imej Zahid sudah lama dirosakkan oleh naratif penuh persepi pihak pembangkang termasuk PH sejak UMNO-BN kalah pada PRU14 lalu.

"Lagipun saya percaya rakyat Pulai sudah buat keputusan mereka sebelum kes Ahmad Zahid ini muncul Isnin lalu.

"Cuma DAP dan Amanah kena all out untuk hari-hari terakhir ini bagi ajak pengundi Cina keluar mengundi. Jentera UMNO dan BN sudah bertungkus lumus membantu kempen calon PH sejak hari pertama lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 3:47 PM