Ahmad Zahid, Onn Hafiz (tiga dari kiri), Ir Nazri dan Ahmad Maslan ketika sidang media selepas perasmian Program Sentuhan Kasih Desa @ Simpang Jeram di Dataran Cenderawasih Sungai Abong, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid, Onn Hafiz (tiga dari kiri), Ir Nazri dan Ahmad Maslan ketika sidang media selepas perasmian Program Sentuhan Kasih Desa @ Simpang Jeram di Dataran Cenderawasih Sungai Abong, di sini, hari ini.
Alias Abd Rani


Muar: Pengundi Umno diminta mengetepikan perbezaan terhadap parti dalam Kerajaan Perpaduan dengan keluar mengundi calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Sabtu depan.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata khususnya pengundi Umno yang dikenali 'pengundi putih', sudah tiba masanya mereka mendokong calon PH kerana parti juga memerlukan mereka pada PRK DUN Pelangai nanti.

Menurutnya, beliau merasakan ini langkah pertama membabitkan kerjasama pelbagai parti untuk mendokong calon BN di Pahang sekali gus memberikan kemenangan untuk menstabilkan kerajaan negeri.

"Kita mengharapkan kemenangan dari pengundi putih dan jangan sesekali terjebak dengan kempen termasuk apa dikatakan sedekah untuk mereka tidak keluar mengundi.

"Saya yakin seluruh jentera Umno, BN memobilinasikan jentera termasuk penerangan untuk menolak kekeliruan sekiranya ia masih berlaku dalam kalangan pengundi Melayu khususnya pengundi Umno.

"Kita perlukan kemenangan di Pulai dan Simpang Jeram kerana apabila ia berlaku (kemenangan), mampu menstabilkan kerajaan di Putrajaya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Program Sentuhan Kasih Desa @ Simpang Jeram di Dataran Cenderawasih Sungai Abong, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan calon PH, Ir Nazri Abd Rahman.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN turut mengingatkan pengundi Umno supaya tidak terpengaruh dengan propaganda dilontar pembangkang mengenai kerjasama gabungan dengan PH terutama DAP.

Katanya, pembangkang terutama PAS dan Bersatu juga pernah bekerjasama dengan DAP namun mereka mengeluarkan fatwa lain terhadap kerjasama BN-PH.

"Keadaan sebegini mereka sengaja mahu mengelirukan pengundi kerana mereka berjaya dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) di enam negeri bulan lalu.

"Mereka masih mencuba, Insya-Allah pengundi di Johor tidak sama dengan pengundi di enam negeri itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 10:32 PM