Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Spekulasi calon yang akan bertanding di Parlimen Kuala Terengganu terlerai apabila Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azan Ismail dipertaruhkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Ogos depan.

Azan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar diumumkan sebagai calon untuk bertanding di kerusi berkenaan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pengumuman Calon parti itu di Shah Alam, semalam.

Pencalonan Azan yang juga bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang menutup spekulasi kononnya Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akan bertanding di kerusi itu.

Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi berkata, kepimpinan Umno negeri termasuk bahagian menerima apa juga keputusan dibuat pimpinan tertinggi parti.

"Kita memahami kita adalah sebahagian daripada kerajaan dan kita dalam Kerajaan Perpaduan.

"Keputusan mencalonkan Azan bukan sahaja dibuat (Presiden Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr) Ahmad Zahid (Hamidi), tetapi turut membabitkan perbincangan dengan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis bersama calon BN Dewan Undangan Negeri (Dun) Bandar, Armi Irzan Mohd dan Dun Ladang, di sini, semalam.

Mohd Sabri yang juga calon BN Dun Ladang berkata, jentera pilihan raya di semua peringkat akan diaktifkan bagi membantu semua calon termasuk dari PKR dan Amanah.

PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan selepas kemenangan calon Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya atas dakwaan wujud unsur rasuah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 11:38 AM