Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Sudahlah menderita sakit akibat barah malah ditipu pula oleh bomoh temberang yang berjanji akan memulihkan penyakit itu tanpa melalui rawatan hospital.

Janji manis bomoh temberang itu menarik minat beberapa pesakit barah di negeri ini yang mengakui menyesal selepas berhabis sehingga ribuan ringgit semata-mata untuk mendapatkan rawatan melalui kaedah tradisional.

Penjaga pesakit barah yang mahu dikenali sebagai Atirah, 49, berkata, dia sudah menghabiskan lebih RM1,000 untuk empat kali rawatan buat suaminya yang menghidap barah peti suara sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, bomoh yang ditemuinya meminta dia membuat bayaran terlebih dahulu untuk memudahkan dia mencari barangan sebelum melakukan rawatan secara tradisional.

"Suami enggan ke hospital untuk mendapatkan rawatan menyebabkan saya terpaksa mengikut kehendaknya walaupun sebenarnya rawatan di hospital boleh membantu.

"Saya membawa suami menemui bomoh dan membayar wang yang diminta sebelum mendapat air penawar yang dijampi," katanya ditemui di sini.

Menurut Atirah, dia terpaksa menggunakan wang simpanannya dan anak untuk membayar bomoh berkenaan.

Bagaimanapun, dia menyesal kerana keadaan suami bukan bertambah baik malah semakin teruk malah mereka juga sudah tidak mempunyai wang simpanan.

"Jika dulu saya terus bawa suami ke hospital untuk jalani rawatan susulan, mungkin suami ada peluang sembuh," katanya.

ZURAINI (kanan) bersama mangsa bomoh, Atirah yang berhabis wang untuk menggunakan khidmat tradisional untuk suaminya tanpa ke hospital. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ZURAINI (kanan) bersama mangsa bomoh, Atirah yang berhabis wang untuk menggunakan khidmat tradisional untuk suaminya tanpa ke hospital. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Pesakit barah otak, Che Intan Md Zain, 61, berkata, dia pernah diminta mencari kain putih orang mati dibunuh pada Selasa serta tanah kubur untuk merawat penyakit terbabit.

Malah, bomoh itu turut mengatakan dia diganggu makhluk halus.'

Katanya, bomoh berkenaan turut memberitahu yang dia boleh berubat tetapi dengan syarat tidak boleh mendapatkan rawatan di hospital.

"Akhirnya, saya kerugian lebih RM60,000 termasuk menjual rumah, barang kemas serta wang simpanan kerana percayakan bomoh," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM) Zuraini Kamal berkata, setakat ini, lebih 100 pesakit barah mengadu kepadanya yang mereka menjadi mangsa bomoh yang menawarkan rawatan tradisional.

Namun katanya, kebanyakan mereka menyesal kerana wang yang sepatutnya digunakan untuk kos rawatan habis dibelanjakan untuk bomoh.

"Saya nasihati semua pesakit barah supaya mendapatkan rawatan di hospital dan bukannya melalui bomoh tradisional kerana barah lebih cepat merebak sekiranya tidak mendapat rawatan hospital.

"Saya kasihan apabila mendengar masalah pesakit ketika datang ziarah malah ada yang memberitahu mereka sudah tiada apa simpanan sehingga sanggup menjual rumah untuk membayar bomoh," katanya ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 12:14 PM