Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Bekas pengerusi dan bekas bendahari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) direman tujuh hari bagi membantu siasatan selepas disyaki mengemukakan tuntutan palsu kepada jabatan kerajaan berjumlah lebih RM11,000, dua tahun lalu.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim selepas membenarkan permohonan pegawai penyiasat dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor.

Tempoh tahanan reman sehingga Ahad ini membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas kedua-dua suspek mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Semalam, kedua-dua suspek ditahan di pejabat SPRM Johor antara 8.30 malam hingga 9.30 malam selepas hadir memberikan keterangan.

Menurut sumber, pada akhir Januari 2021, kedua-dua suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu kepada sebuah jabatan kerajaan yang berpusat di daerah ini.

"Tuntutan itu difahamkan adalah bagi kerja-kerja pembekalan dalam melaksanakan program rawatan dan pemulihan, sedangkan kerja pembekalan itu tidak dilaksanakan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua penahanan terbabit.

SUSPEK direman tujuh hari bagi membantu siasatan. FOTO Izz Laily Hussein
SUSPEK direman tujuh hari bagi membantu siasatan. FOTO Izz Laily Hussein

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 12:22 PM