GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini menahan seorang pemilik syarikat dan ketua penyelia kerana disyaki membuat tuntutan palsu lebih RM60,000 bagi kerja-kerja perkhidmatan pembersihan membabitkan sebuah bangunan kerajaan di Kuala Lumpur

Menurut sumber, suspek masing-masing seorang lelaki berusia 30-an dan wanita berusia 50-an yang juga pemilik syarikat ditahan kira-kira jam 6.30 petang ketika hadir memberi keterangan di SPRM Selangor.

Katanya, kedua-dua suspek dipercayai mengemukakan dokumen tuntutan palsu dari tahun 2020 hingga 2022 membabitkan kontrak bernilai lebih RM4.2 juta.

Sumber itu memberitahu, berdasarkan pemeriksaan awal mendapati tuntutan lebih RM60,000 itu berkaitan gaji dan tuntutan lebih masa pekerja serta pembersihan.

Sedangkan kata sumber, pekerja terbabit tidak bekerja di syarikat berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Menurutnya, suspek lelaki akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor jam 9 pagi esok untuk mendapatkan perintah reman manakala wanita itu dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 10:49 PM