LELAKI yang diburu polis kerana terbabit lebih 30 kes penipuan ke atas warga emas. FOTO Ihsan Polis.
LELAKI yang diburu polis kerana terbabit lebih 30 kes penipuan ke atas warga emas. FOTO Ihsan Polis.
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Polis mengesan seorang lelaki yang disyaki menipu warga emas mengenai bantuan kerajaan tidak wujud membabitkan kerugian RM25,000.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan daripada pesara berusia 78 tahun terbabit pada 17 April lalu.

Menurutnya, pengadu mendakwa didatangi seorang lelaki tempatan yang menawarkan pertolongan bagi menguruskan bantuan kerajaan.

"Suspek mengambil pengadu di rumahnya di SS2/6 Seapark di sini, dan membawa pengadu ke sebuah bank dengan menaiki kenderaan jenis Lamborghini.

"Pengadu diminta mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM25,000 dan menyerahkan wang tunai itu kepada suspek.

"Suspek kemudian membawa pengadu ke sebuah bank di Kepong lalu meninggalkannya dengan alasan untuk mendapatkan wang bantuan kerajaan namun dia menghilangkan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrulnizam berkata, polis kini sedang giat mengesan suspek dikenali Lau Kah Wing, 28, beralamat terakhir di Blok A-10-03 Damansara Suria, Taman KIP, 52000 Kuala Lumpur.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Gashwinpal Singh di talian 016-3649168.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang lelaki menggunakan taktik memperdaya warga emas kononnya mahu menyalurkan bantuan sebelum suspek melarikan wang milik mangsa.

Suspek disyaki terbabit lebih 30 kes penipuan di seluruh negara dengan menyasarkan warga emas.

Perbuatan suspek itu tular di media sosial selepas dipercayai menipu seorang warga emas di SS2 Petaling Jaya baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 4:58 PM