Siti Rohana Idris

TOKOH penulis Kelantan Abdullah Al-Qari Salleh meninggal dunia selepas terbabit dengan kemalangan ketika dalam perjalanan untuk ke sebuah masjid di Kubang Kerian di Kota Bharu pagi hari ini.

Abdullah Al-Qari, 83, terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 6.20 pagi tadi selepas kereta yang dipandunya membuat pusingan U sebelum dirempuh sebuah kenderaan lain.

Anak sulung Allahyarham, Mohamad Abdullah, 61, berkata, setiap pagi bapanya akan ke masjid di Taman Al-Qari untuk mengimamkan solat Subuh dan akan bertolak dari rumah sebaik azan Subuh berkumandang.

“Saya selalu solat jemaah bersama arwah dan pagi tadi saya dan jemaah lain menunggunya di masjid untuk solat.

“Lebih 10 minit kami semua menunggu, dia tetap tidak tiba dan tak lama kemudian, ada dua individu datang memberitahu kami mengenai kemalangan yang menimpa ayah,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya.

Mohamad berkata, tanpa membuang masa dia segera ke lokasi kemalangan dan sebaik tiba, dia melihat bapanya masih lagi bernyawa dan sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah.

MUS'AB hilaluddin menunjukan gambar datuknya, Ustaz Abdullah Al-Qari Salleh yang meninggal dunia selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan untuk ke masjid di Kubang Kerian. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
MUS'AB hilaluddin menunjukan gambar datuknya, Ustaz Abdullah Al-Qari Salleh yang meninggal dunia selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan untuk ke masjid di Kubang Kerian. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Katanya, bapanya kemudiannya dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dengan ambulans dan tidak lama kemudian dia dimaklumkan bapanya sudah menghembuskan nafas terakhir sebelum sempat tiba di hospital.

Menurutnya lagi, bapanya ada menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Kubur Tok Kenali malam tadi dengan tajuk ‘Mati Mengejut’.

“Setiap Rabu ayah akan memberi kuliah maghrib di masjid itu dan saya difahamkan untuk topik mati mengejut malam tadi, ulasannya agak panjang.

“Tiba-tiba pagi ini kami pula menerima berita kematiannya yang dianggap mengejut, bagaimanapun kami reda dengan ketentuan takdir,” katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Aishah Ibrahim, 75, dan lapan anak.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tok Kenali selepas solat Asar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 5:28 PM