M Hifzuddin Ikhsan


Jitra: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) mendakwa berlaku masalah kelewatan benih padi sah ketika ini, sehingga menjejaskan musim tanaman baharu ke atas sebahagian besar petani.

Pengerusi Pesawah Fuad Yaacob, berkata pengedar tunggal benih iaitu Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) masih gagal membekalkan benih padi sah ke sebahagian besar kawasan tanaman di Semenanjung.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan kebanyakan petani di bawah kawasan tanaman Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) masih belum dapat mula menanam benih padi yang sepatutnya bermula 1 April lalu.

"Kerajaan lantik Nafas sebagai pengedar tunggal benih padi sah sejak Disember 2020 bertujuan mengawal harga, memastikan kualiti dan mengelak pengedaran lambat kepada petani, walaupun majoriti petani meragui keputusan itu.

"Tetapi kini kebimbangan kami mengenai kemampuan Nafas nyata berasas apabila masalah benih padi berlaku sejak 2017 dan keadaan kini semakin parah sehingga menjejaskan rezeki kami," katanya pada sidang media di Kampung Pulau Kabu di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Bertindak Petani Mada, Che Ani Mat Zain dan Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar Pas Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria.

Mengulas lanjut Fuad berkata, kegagalan kerajaan menangani isu ini menyebabkan petani mula ragu keberkesanan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang dijadual bermula Ogos depan, bertujuan meningkatkan hasil padi.

Sebahagian pesawah sertai tunjuk perasaan di atas batas sawah yang masih belum memulakan proses penanaman padi. FOTO Luqman Hakim Zubir
Sebahagian pesawah sertai tunjuk perasaan di atas batas sawah yang masih belum memulakan proses penanaman padi. FOTO Luqman Hakim Zubir

"Jika isu asas berkaitan benih tidak dapat diselesaikan, tidak mustahil SMART SBB itu juga akan bermasalah kerana pelaksanaan program berkenaan memerlukan kami menyerahkan sawah kepada syarikat tertentu," katanya.

Semalam, Pengerusi Jawatakuasa Pertanian Industri Makanan negeri, Azman Nasrudin dalam kenyataan, berkata berlaku kelewatan pembekalan disebabkan benih padi jenis MR297 yang dikehendaki petani, tiada dalam pasaran.

Beliau berkata, masalah berkenaan boleh diatasi dalam tempoh seminggu sekiranya petani menerima cadangan Nafas menukar penggunaan benih MR297 kepada jenis MR219.

Sementara iu Che Ani berkata, pesawah menolak sepenuhnya cadangan Nafas kerana benih padi jenis MR219 dipercayai turut bermasalah selain ia boleh menyebabkan kekurangan hasil.

"Nafas mungkin tidak tahu apa masalah padi MR219, benih itu tidak sesuai ditanam kerana batangnya lembut dan mudah rebah, walaupun hasil padinya adalah baik.

"Jika padi rebah, petani akan berhadapan masalah kekurangan hasil sehingga 50 peratus berbanding MR297 yang tidak mempunyai masalah serius seperti itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 2:47 PM