FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Jabatan Pertanian mengumumkan sejumlah 26,353 tan metrik benih padi sah sudah disediakan setakat Isnin lalu, bagi kegunaan pesawah di seluruh negara sehingga hujung bulan ini.

Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Mohd Nasir Warris berkata, kuantiti ini adalah mencukupi bagi keperluan pesawah termasuk pesawah di Kedah dan Perlis.

"Ketika ini, pegawai kita sedang melakukan proses pengesahan benih padi dan jumlah keseluruhan benih yang dijangka diguna bagi musim tanaman 1/2021 adalah melebihi 36,000 tan metrik.

"Jumlah ini adalah melebihi daripada keperluan pada musim sekarang. Oleh yang demikian, pesawah dinasihatkan tidak risau tentang bekalan benih padi," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan lebih 30,000 pesawah di empat kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berhadapan masalah tidak dapat memulakan proses menanam padi mulai 1 April lalu, berikutan belum menerima benih padi sah sehingga kini.

Mohd Nasir berkata, pihaknya mendapati pada musim ini berlaku peningkatan pada benih padi varieti MR 297 menyebabkan bekalannya tidak mencukupi.

"Namun begitu, terdapat juga varieti lain setanding varieti MR 297 dan kita sudah meluluskan sembilan lagi varieti benih padi lain iaitu MR 219, MR 220 CL2, UKMRC-2, UKMRC-8, MR 269, MR 303, MR 307, MRQ76 dan MR 263.

"Oleh itu, pesawah diharapkan dapat memilih dan bersedia untuk menanam varieti lain selain MR 297, yang mampu memberi hasil yang tinggi," katanya.

Beliau turut menasihatkan pesawah agar tidak membeli benih padi yang tidak mendapat pengesahan daripada Jabatan Pertanian atau dikenali sebagai 'beg putih'.

Katanya, penggunaan benih padi 'beg putih' dikhuatiri boleh menyebabkan berlaku isu berkaitan masalah padi angin, penyakit dan perosak yang boleh menjejaskan kualiti serta industri padi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 6:14 PM