Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Polis menyerbu sebuah medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong sebelum menahan 27 orang termasuk pelayan khidmat pelanggan (GRO) dan pelacur.

Serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu hasil pendedahan eksklusif Harian Metro sebelum ini berkaitan kegiatan medan selera menawarkan khidmat seks serendah RM100.

Ketua Penolong Pengarah D7 JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan mendapati premis beroperasi setiap hari dari jam 12 tengah hari sehingga 10 malam.

Menurutnya, premis menjalankan perniagaan berkonsepkan restoran dan kalung bunga serta menawarkan khidmat seks kepada pelanggan dalam restoran.

"Harga kalungan bunga mengikut warna iaitu RM50 bagi kuning, oren (RM20) dan merah (10) di mana pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat seks dibawa ke bilik sewa di kediaman sebelah premis dengan bayaran RM100.

PREMIS tawar kalungan bunga dari harga RM10 hingga RM50.
PREMIS tawar kalungan bunga dari harga RM10 hingga RM50.

"Premis menyediakan khidmat GRO dan pelacur dari warganegara Vietnam dan China di mana hasil serbuan berjaya menahan 23 wanita warganegara asing yang digajikan sebagai GRO dan pelacur," katanya kepada Harian Metro.

Mohamad Farouk Eshak berkata, 18 GRO yang ditahan terdiri daripada sembilan warga China dan sembilan warga Vietnam manakala pelacur tiga warga Vietnam serta dua warga China.

"Turut ditahan lelaki tempatan sebagai pengurus, juruwang wanita warga Indonesia dan dua lelaki tukang cuci warga Myanmar.

"Mereka yang ditahan berusia 20 hingga 60 tahun di mana hasil semakan ke atas semua GRO dan pelacur warganegara asing mendapati tiada permit kerja sah dan tiada dokumen perjalanan," katanya.

PREMIS dipercayai beroperasi setiap hari dari jam 12 tengah hari hingga jam 10 malam.
PREMIS dipercayai beroperasi setiap hari dari jam 12 tengah hari hingga jam 10 malam.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 10 kalung bunga warna kuning, 10 kalung bunga merah, 25 keping kondom, tisu, minyak pelincir, peralatan sistem audio dan wang tunai RM5,310.

"Semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi diambil rakaman percakapan risikan dan siasatan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 372A KK iaitu berkaitan kesalahan bagi mereka yang hidup daripada hasil atau memperdagangkan persundalan yang mana hukumannya boleh dikenakan jika disabit kesalahan adalah penjara hingga 15 tahun dan dengan sebatan dan hendaklah didenda," katanya.

Sindiket 'kreatif' elak pihak berkuasa

Sindiket pelacuran sentiasa mencari kaedah baharu mengaburi mata pihak berkuasa supaya aktiviti persundalan terus aktif tambahan ia tetap mendapat sambutan lelaki hidung belang sehingga mereka yang sudah bergelar datuk pun tetap 'makan luar'.

Setiap wanita warga asing yang masuk ke negara ini dikendalikan ejen mereka yang terbabit dalam sindiket pelacuran ini dengan menggunakan pas lawatan sosial dan berpura-pura ingin melancong.

Menurut sumber, sebaik tiba secara sah dengan pas lawatan sosial, wanita warga asing dari China, Vietnam, Thailand, Indonesia dan termasuk dari negara Eropah dibawa sindiket ke premis pelacuran untuk bekerja sebagai pelayan khidmat pelanggan (GRO) dan pelacur.

"Malah, ada yang sanggup mengahwini lelaki berusia dan warga emas bagi membolehkan mereka tinggal di negara ini.

"Suami upahan ini sah di sisi undang-undang kerena mereka daftar perkahwinan dan apabila ada yang ditahan lelaki ini datang mengikat jamin," katanya.

Sumber berkata, dengan kepesatan teknologi, ada sindiket tidak lagi menawarkan perkhidmatan itu secara terbuka sebaliknya beroperasi secara dalam talian menggunakan aplikasi Telegram, WhatApps dan WeeChat.

BILIK yang digunakan untuk aktiviti tidak bermoral.
BILIK yang digunakan untuk aktiviti tidak bermoral.

"Apabila pelanggan bersetuju baru mereka akan dibawa ke tempat khas sama ada hotel atau kediaman," katanya.

Tambah sumber, apabila keadaan 'reda', sindiket bawa mereka masuk semula guna pas pelancong.

Malah, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini pernah mendedahkan modus operandi bersembunyi di negara jiran terbabit.

Razarudin dilaporkan berkata, jika dahulu wanita warga asing masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong untuk bekerja sebagai GRO akan pulang semula ke negara terbabit selepas pas pelancong tamat.

"Pada masa sama, ada antara mereka berkahwin dengan lelaki warga tempatan demi tujuan melanjutkan pas lawatan sosial (PLS).

"Sindiket mencari lelaki warga emas untuk berkahwin dengan wanita ini, namun hakikatnya mereka bekerja sebagai GRO.

"Kini, siasatan polis mendapati sindiket tetap membawa masuk GRO ini dengan pas pelancong, malah mereka berpura-pura membeli tiket balik bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya.

ANTARA GRO dan pelacur yang dicekup polis dalam serbuan di sebuah medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong dekat ibu kota.
ANTARA GRO dan pelacur yang dicekup polis dalam serbuan di sebuah medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong dekat ibu kota.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 12:30 PM