GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis memburu lelaki yang dikesan menghantar bungkusan berisi objek menyerupai bahan letupan ke pejabat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) di Putrajaya, pada 5 Jun lalu.

Lakaran suspek memakai pelitup muka itu dirakam di pejabat sebuah syarikat penghantaran di Sungai Buloh, Selangor, pada hari sama bungkusan itu dikirim ke pejabat Datuk Seri Tiong King Sing.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, suspek memakai baju merah dan jaket hitam selain berpenutup kepala hitam.

"Hasil siasatan dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, suspek melakukan proses penghantaran bungkusan itu dengan menggunakan identiti individu lain.

"Berdasarkan siasatan juga, individu yang identitinya digunakan itu mengesahkan dia tidak hadir ke pejabat penghantaran di Sungai Buloh dan tidak tahu tentang sebarang urusan penghantaran barang," katanya pada sidang media di IPD Brickfields, di sini, hari ini.

Rusdi meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek dan kejadian itu supya menghubungi IPD Putrajaya atau talian 03-21159999.

"Sehubungan kejadian ini, saya mohon syarikat penghantaran atau syarikat perbankan untuk mengarahkan pelanggan mereka membuka pelitup muka semasa melakukan sebarang urusan.

"Langkah ini penting bagi membolehkan polis mengenal-pasti identiti pelaku jenayah selain sentiasa menyelia sistem rakaman kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.

Pada kejadian jam 2.45 petang, 5 Jun lalu, King Sing menerima bungkusan yang dialamatkan ke pejabatnya yang dihantar syarikat kurier, jam 11.19 pagi.

Bungkusan itu diambil dari lobi di tingkat bawah pejabat Motac dan dibawa naik ke tingkat 14 iaitu pejabat King Sing.

Bungkusan itu mengandungi paip PVC berserta wayar dan penentu masa (timer).

Kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Letupan dan Bahan Api 1957.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 1:02 PM