Kereta Perodua kembara yang dinaiki dua lelaki ketika cuba menceroboh istana negara bersama parang ditahan polis semalam. ihsan pdrm
Kereta Perodua kembara yang dinaiki dua lelaki ketika cuba menceroboh istana negara bersama parang ditahan polis semalam. ihsan pdrm
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menahan dua lelaki yang cuba menceroboh Istana Negara di Jalan Sultan Abdul Halim di sini, bersama sebilah parang kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, dalam kejadian jam 4.40 petang itu, anggota polis menahan sebuah kereta Perodua Kembara yang cuba memasuki Pintu 3, Istana Negara atas tujuan untuk berjumpa Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek menjumpai sebilah parang. Susulan pemeriksaan itu, pihak polis menahan dua lelaki berusia 29 tahun dan 37 tahun.

"Hasil ujian saringan awal air kencing suspek adalah negatif.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 447/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958," katanya tadi.

Rusdi berkata, kesemua suspek ditahan reman selama empat hari mulai 18 sehingga 21 Mei ini bagi tujuan siasatan lanjut.

"Justeru, pihak polis menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan sesuatu berita yang tidak pasti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 12:41 PM