Dua nelayan tempatan yang dikhuatiri hilang kira-kira 48 jam ditemui selamat pada kedudukan 8.6 batu nautika barat Pulau Selat Kering perairan Pulau Selat Kering. FOTO IHSAN MARITIM SELANGOR
Dua nelayan tempatan yang dikhuatiri hilang kira-kira 48 jam ditemui selamat pada kedudukan 8.6 batu nautika barat Pulau Selat Kering perairan Pulau Selat Kering. FOTO IHSAN MARITIM SELANGOR
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Dua nelayan tempatan yang hilang kira-kira 48 jam ditemui selamat di perairan Pulau Selat Kering, di sini semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, kedua-duanya berusia 37 dan 45 tahun ditemui keletihan selepas bot dinaiki mengalami kerosakan enjin.

Katanya, sebelum itu pemilik bot L Veerannan, 69, membuat aduan mengenai kejadian di Pusat Operasi Maritim Selangor pada 9.50 pagi, selepas bot berkenaan tidak pulang ke pangkalan sejak Khamis.

"Siasatan mendapati, bot itu dinaiki tiga nelayan tetapi akibat enjin rosak, seorang daripada mereka pulang ke jeti dengan menaiki bot lain untuk baiki enjin itu.

"Selepas selesai pembaikan, rakan mangsa menuju semula ke kedudukan bot berkenaan namun gagal mengesannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bharu mengaktifkan operasi Carilamat pada 11.00 pagi dengan bot Perkasa 35 diatur gerak untuk mengesan mangsa.

"Kira-kira 1.00 petang, kita menerima panggilan daripada nelayan tempatan memaklumkan penemuan bot itu di kedudukan 8.6 batu nautika dari barat Pulau Selat Kering.

"Nelayan dan bot ditunda ke jeti Pulau Ketam oleh bot nelayan lain dengan diiring bot Perkasa 35. Operasi ditamatkan pada 2.40 petang semalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 10:38 AM