BOT nelayan yang terbalik dipukul ribut diikat pada boya besar bagi mengelakkan dihanyut arus. TANGKAP LAYAR video Ihsan MARITIM
BOT nelayan yang terbalik dipukul ribut diikat pada boya besar bagi mengelakkan dihanyut arus. TANGKAP LAYAR video Ihsan MARITIM
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Dua nelayan dikhuatiri masih terperangkap di bawah bot di lokasi tragedi bot terbalik dan karam di kira-kira 10 batu nautika perairan Pulau Redang.

Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Ramli, berkata operasi carilamat akan bermula jam 7 pagi esok bagi mencari dua lagi mangsa yang masih gagal dikesan.

Menurutnya, pegawai dan anggota skuad skuba akan membuat selaman bagi mengesan kedudukan dua lagi mangsa itu.

"Berdasarkan penemuan tiga mayat mangsa tragedi bot karam di lokasi berbeza hari ini, kita tidak menolak kemungkinan bahawa dua lagi mangsa masih terperangkap dalam bot nelayan yang masih berada dalam kedudukan terbalik.

"Tiga nelayan yang ditemukan lemas adalah Saludin Ismail, 50, Mohd Nazri Abu Bakar, 48, dan Zulkifli Umar, 48, dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat," katanya ketika ditemui selepas memantau proses mengangkat mayat tiga nelayan daripada Kapal Maritim (KM) REDANG, di jeti Maritim Pulau Kambing, di sini, hari ini.

Dua lagi mangsa yang belum ditemui dan dikhuatiri terperangkap dalam bot adalah Raja Zainuddin Raja Ibrahim, 49, dan Ahmad Ahmad Zamri Ishak, 66, manakala seorang lagi mangsa iaitu Muhammad Kamaruddin Yudi, 31, selamat.

Ke semua mangsa dikatakan keluar ke laut untuk memancing dan memasang bubu kira-kira jam 10 malam Ahad lalu.

Mengulas lanjut, Muhammad Suffi berkata, operasi Carilamat esok turut menggunakan beberapa aset iaitu kapal Maritim (KM) REDANG, pesawat Bombardier CL415 serta dibantu lebih 10 bot nelayan tempatan.

Selain itu katanya, ia akan turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Berita berkaitan:

  • Suami bergurau mahu ke laut lebih lama [METROTV]
  • Tragedi bot karam: Tiga nelayan ditemukan lemas
  • Identiti 5 lelaki hilang di perairan Pulau Redang dikenal pasti
  • 5 lelaki hilang selepas bot karam
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 11:50 PM