KEADAAN treler yang merempuh restoran. FOTO ihsan Pembaca
KEADAAN treler yang merempuh restoran. FOTO ihsan Pembaca

H: Treler rempuh restoran

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

[email protected]

Gambar

TAMPIN: Beberapa pelanggan yang sedang menjamah roti canai bergegas menyelamatkan diri apabila lori treler 40 tan ‘menjengah’ masuk ke sebuah restoran di Dataran Satria, Gemas di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, lori yang membawa muatan tanah liat itu hilang kawalan lalu merempuh sebatang tiang di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, siasatan mendapati kenderaan itu dipandu lelaki berusia 25 tahun dari Gua Musang, Kelantan menuju ke Kluang, Johor.

Katanya, ketika tiba di persimpangan lampu isyarat di Jalan Gemas-Tampin, kenderaan berat itu cuba mengelak merempuh sebuah kenderaan di hadapan.

“Akibatnya, ia hilang kawalan lalu terbabas di sebelah kiri simpang menuju ke restoran. Treler berkenaan merempuh bahagian tepi premis namun bernasib baik kerana tidak memasuki dalam restoran,” katanya.

Menurut Ramli, kejadian itu menyebabkan pekerja dan pelanggan restoran berkenaan bertempiaran melarikan diri.

Menurutnya, buat masa ini pemilik restoran belum dapat menganggarkan jumlah kerugian meskipun bahagian hadapan premis, meja makan serta kerusi rosak.

“Pemandu lori yang berasal dari Rawang, Selangor ditahan pihak polis bagi tujuan saringan air kencing dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Jalan Raya 166/ 59,” katanya.

Ends....

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 5:21 PM