Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kesan pencemaran minyak di perairan Johor susulan pelanggaran kapal di Terminal Pasir Panjang, Singapura pada Jumaat lalu, diunjurkan berada pada tahap minimum.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusof, berkata ini kerana kesan tompokan tumpahan minyak dari Singapura itu kini menuju kawasan luar sempadan perairan negara berikutan keadaan laut yang bergelora.

Katanya, ia menyebabkan impak pencemaran tumpahan minyak di perairan Johor itu tidak serius seperti unjuran awal.

Namun katanya, pemantauan dan rondaan di laut bagi mengesan tumpahan minyak itu masih berterusan bagi mengelakkan ia mencemari perairan dan garis pantai negara.

"Dalam pemantauan yang dilakukan mendapati keadaan pencemaran akibat tumpahan minyak tidak membesar berbanding kelmarin.

"Di kawasan Dataran Sungai Rengit yang tercemar dengan insiden tumpahan minyak itu, kita dapati kesan tompokan minyak dengan banyak sampah yang diselaputi minyak berwarna hitam.

"Begitu juga di kawasan sepanjang satu kilometer (km) garis Pantai Sungai Rengit hingga ke Teluk Ramunia, kawasan tercemar membabitkan tompokan minyak dan sampah diselaputi minyak, bukan seluruh kawasan pantai dipenuhi minyak.

"Antara faktor yang menyebabkan perairan kita menerima kesan minimum adalah disebabkan tindakan pantas pihak berkuasa Singapura membendung tumpahan minyak itu terus membesar dan mengalir ke kawasan lain dengan menggunakan pelbagai peralatan termasuk 'tar ball'," katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, pihak berkuasa Singapura dilaporkan memperluaskan usaha pembersihan ke lebih banyak kawasan perairan republik itu berikutan tumpahan minyak besar telah dikesan merebak sehingga ke perairan Changi, Sabtu lalu.

Menurut Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura, kira-kira 1,500 meter 'bum' atau pembendung fizikal dilaporkan telah digunakan untuk membendung tumpahan minyak, dengan tambahan 1,600 meter 'bum' digunakan di beberapa pantai di Pulau Sentosa dan Hutan Simpanan Labrador, sebagai langkah mengurangkan impak pencemaran.

Bum pembendung juga dilaporkan telah dipasang di sepanjang pantai East Coast Park yang terjejas teruk untuk memerangkap minyak dan menghalangnya daripada mengalir ke terusan.

Sistem Current Buster, peranti penahan terapung minyak dan pemulihan khusus yang digunakan dari kapal pula dilaporkan turut digunakan di luar Pusat Pameran Changi sebagai langkah pencegahan.

Setiap sistem itu membabitkan bum pembendung dengan kain yang memanjang di bawah permukaan air untuk mengumpul minyak pada permukaan air sekali gus menghalang tumpahan minyak merebak ke kawasan lebih besar dan jauh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 4:16 PM