Nelayan menunjukkan warga jaring kuning (depan) yang terkena minyak ketika menangkap ikan minggu lalu, berbanding warna jaring putih. FOTO OMAR AHMAD
Nelayan menunjukkan warga jaring kuning (depan) yang terkena minyak ketika menangkap ikan minggu lalu, berbanding warna jaring putih. FOTO OMAR AHMAD
Oleh Omar Ahmad


Kota Tinggi: Lebih 100 nelayan dari Pangkalan Jeti Nelayan Sungai Rengit, Pengerang, dekat sini, membuat laporan polis berkaitan insiden tumpahan minyak yang menjejaskan perairan, susulan pelanggaran kapal di Singapura.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Nelayan Pengkalan Sungai Rengit Rosli Mohd Ali, 56, berkata, laporan itu dibuat berikutan kerugian ditanggung komuniti nelayan di kawasan terjejas, yang tidak dapat turun ke laut mencari rezeki.

Katanya, sejak seminggu lalu, mata pencarian utama berkurangan akibat tumpahan minyak terbabit.

"Alhamdulillah, hari ini keadaan sudah berkurangan sedikit, kerja pembersihan pun sudah berjalan tiga hari sejak Jumaat lalu.

"Bagaimanapun, air laut di gigi pantai masih lagi ada warna kehitaman akibat tumpahan minyak itu.

"Benar, kami ada membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Rengit berhubung insiden ini pada semalam dan kelmarin. Kami meminta supaya pihak insurans dan pihak berkaitan bertanggungjawab terhadap nasib kami yang tidak dapat mencari rezeki," katanya.

Rosli yang berpengalaman lebih 30 tahun sebagai nelayan berkata, pagi tadi, dua bot nelayan cuba ke laut untuk menangkap ikan dan melihat persekitaran lautan sama ada sudah pulih atau sebaliknya.

"Dua bot nelayan turun ke laut dengan harapan boleh memukat atau menjaring ikan. Tetapi, apabila melihat keadaan tidak mengizinkan, nelayan berkenaan kembali.

"Kami harap keadaan kembali pulih dalam dua atau tiga hari lagi. Apabila laut kembali bersih, kami akan turun menangkap ikan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora ketika dihubungi mengesahkan, 101 laporan polis diterima daripada persatuan nelayan berhubung insiden terbabit.

"Kita terima 101 laporan polis daripada persatuan nelayan sekitar Bayu Damai, Pengerang dan Sungai Rengit akibat tumpahan minyak di perairan Singapura.

"Laporan polis mereka ini akan dirujuk kepada Jabatan Perikanan, difahamkan untuk tuntutan sivil kepada syarikat perkapalan terbabit," katanya.

Pada Jumaat, Harian Metro melaporkan, hampir 200 nelayan di Jeti Nelayan Sungai Rengit, Pengerang, terpaksa menanggung kerugian apabila tidak dapat turun ke laut akibat kesan tumpahan minyak.

Situasi itu ekoran kejadian pelanggaran kapal pada 14 Februari lalu membabitkan sebuah kapal dari Belanda, Vox Maxima, yang dilaporkan melanggar kapal tangki minyak dari Singapura, Marine Honor di Terminal Pasir Panjang.

Ia menyebabkan kapal tangki minyak yang dilanggar bocor hingga berlaku limpahan kira-kira 400 tan minyak ke kawasan perairan dan laut di Terminal Pasir Panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 1:56 PM