Pekerja membersihkan sisa tumpahan minyak di Pulau Sentosa. - FOTO AFP
Pekerja membersihkan sisa tumpahan minyak di Pulau Sentosa. - FOTO AFP
BERNAMA

Singapura: Pihak berkuasa Singapura sedang berhubung dengan rakan sejawat mereka dari Malaysia untuk bekerjasama dalam usaha menangani sebarang kesan lanjut daripada tumpahan minyak susulan insiden perlanggaran kapal di Terminal Pasir Panjang (PPT) di sini, Jumaat lepas.

"Singapura, Malaysia dan Indonesia adalah sebahagian daripada Jawatankuasa Tabung Pusingan, di mana tiga negara pesisir boleh meminta dan memberikan sokongan untuk tumpahan minyak dan operasi pembersihan di Selat Melaka dan Singapura," menurut kenyataan bersama oleh agensi-agensi terlibat dalam usaha menyeluruh kerajaan pada Khamis.

Agensi berkenaan ialah Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA), Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA), Lembaga Taman Negara (NParks), Agensi Air Nasional Singapura (PUB), Agensi Makanan Singapura (SFA), Penguasa Tanah Singapura (SLA) dan Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC).

Operasi pembersihan di beberapa bahagian perairan dan pantai Singapura masih diteruskan hampir seminggu selepas insiden perlanggaran antara kapal pengorek dan kapal tangki minyak itu.

Agensi itu menyatakan bahagian utara PPT telah dibersihkan daripada tumpahan minyak setelah penggunaan 'Current Buster', sistem pemulihan dan pembendungan minyak sejak 18 Jun, dan pembersihan menyeluruh terhadap 'Berth 36' yang tercemar minyak berhampiran kawasan perlanggaran sedang dijalankan menggunakan jet tekanan tinggi.

Setakat ini, tiga sistem Current Buster telah digunakan - dua di luar kawasan barat yang terjejas di PPT dan Sentosa manakala satu lagi di luar kawasan timur yang terjejas di East Coast dan Changi East sebagai langkah berjaga-jaga untuk mendapatkan semula sebarang minyak dan menghalang penyebaran selanjutnya.

Setakat 5 petang Rabu, pantai di Pulau Sekijang Bendera (St John's Island), Pulau Sekijang Pelepah (Lazarus Island) dan Pulau Kusu telah dibersihkan daripada pasir berminyak tetapi akan terus dipantau untuk tanda-tanda tompokan minyak.

Sebahagian besar deposit minyak di pantai Taman East Coast telah dibersihkan. Beberapa bahagian di Hutan Simpanan Labrador dan pantai Tanah Merah juga telah dibersihkan.

Tiada laporan tompokan minyak yang dilihat di luar Changi sejak Selasa.

Di Sentosa, sebahagian besar pantai Siloso telah dibersihkan daripada pasir berminyak sementara usaha pembersihan pantai di Palawan dan Tanjong sedang berlangsung dengan perancangan pembersihan menjadi fokus dalam fasa seterusnya.

Walaupun pantai masih dibuka dan perniagaan pulau beroperasi seperti biasa, aktiviti laut dan berenang masih tidak dibenarkan.

Agensi-agensi berkenaan menyatakan setakat ini, tiada ladang ikan di Singapura yang terjejas dan kualiti udara di kawasan yang terjejas di Taman East Coast, Hutan Simpanan Labrador dan Sentosa berada dalam paras selamat.

PUB juga memberi jaminan kepada orang ramai bahawa bekalan air minuman Singapura tidak terjejas.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Singapura Chee Hong Tat berkata walaupun terdapat kemajuan dalam operasi pembersihan, ia masih memerlukan sedikit masa sebelum minyak dapat dibersihkan sepenuhnya.

"Pada masa ini, kami memberi tumpuan kepada pembersihan tompokan minyak dan lapisan minyak dari air dan darat yang dapat dilihat melalui pengawasan dron dan imejan satelit. Dalam fasa seterusnya, kami perlu membuang minyak yang terperangkap," kata beliau dalam hantaran di laman Facebook pada Khamis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 5:24 PM